
ByteDance, syarikat induk sebalik TikTok, CapCut dan Moontoon, kini dilihat dinilaikan sekitar $550 bilion. Penilaian baharu ini hadir daripada firma pelaburan General Atlantic yang mempunyai pegangan pada ByteDance, dan menjual pegangan ekuiti mereka.
Penilaian terbaru ini memperlihatkan peningkatan berbanding pada tahun lepas yang ia bernilai sekitar $330 bilion. Untuk makluman, General Atlantic sebelum ini melabur pada ByteDance ketika ia bernilai sekitar $20 bilion, dan kini mencari pembeli untuk pegangan mereka pada syarikat berkenaan. Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi berapakah pegangan yang ingin dijual oleh General Atlantic.
Untuk ByteDance sendiri, mereka sedia dihadapan dalam arena media sosial dan edangang melalui TikTok, selain turut mempunyai pelaburan tinggi dalam pembangunan aplikasi berasaskan AI. Di China, mereka mempunyai penawaran dinamakan Doubao yang digunakan jutaan pengguna. Malah, baru-baru ini, mereka turut menempa nama dalam arena AI melalui penawaran penjana video, SeedDance yang boleh menjana pelbagai variasi video melaluinya.
ByteDance juga turut menjana pendapatan tinggi dalam arena pengiklanan, dan telah melangkaui Meta pada tahun lepas.


