NVIDIA Menjual Pegangan Terakhir Saham Arm

TechnologyBusiness & Finance
20 Feb 2026 • 11:09 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sekitar tahun 2020, NVIDIA telah menyatakan hasrat untuk membeli syarikat pereka cip semikonduktor Arm pada harga $40 bilion dan telah membeli sejumlah besar pegangan saham terhadap syarikat tersebut sebagai persediaan untuk mengambil-alihnya. Akan tetapi, isu seperti monopoli pasaran dan anti-persaingan telah menguburkan cita-cita tersebut.

Semenjak itu, NVIDIA telah sedikit demi sedikit menjual pegangan saham Arm tersebut, dan menurut laporan terkini, mereka telah akhirnya menjual saki-baki pegangan tersebut sepenuhnya. Sebanyak 1.1 juta pegangan saham telah dijual yang bernilai $155 juta, dan ini menjadikan pegangan saham tersebut turun ke sifar.

image is not available

Ini bermakna bahawa Softbank masih kekal pemilik majoriti Arm dengan kira-kira 90 peratus pegangan saham. Pada tahun 2020, Softbank telah mempersetujui untuk menjual semua pegangan tersebut kepada NVIDIA, akan tetapi pelbagai pihak, khususnya badan-badan anti-persaingan di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom telah menghalang pengambil-alihan tersebut, dan ia dibatalkan pada tahun 2022.

Walaupun NVIDIA sudah menjual semua pegangan saham ini, perjanjian 20 tahun yang ditandatangani yang membenarkan NVIDIA menggunakan teknologi dan paten Arm masih lagi diteruskan tanpa sebarang isu. Cip pemprosesan pusat data dan AI NVIDIA, khususnya model-model Grace dan Vera dibangunkan menggunakan cip pemprosesan Arm sebagai asas.