Cabaran besar pastikan graduan penuhi kehendak industri

LocalBusiness & Finance
1 Oct 2026 • 9:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Cabaran besar pastikan graduan penuhi kehendak industri
Image from: Cabaran besar pastikan graduan penuhi kehendak industri
SUHANA ABDUL MUTALIB

Sesebuah negara tidak akan menjadi maju hanya kerana ­memiliki lebuh raya yang lebih panjang atau bangunan lebih tinggi. Negara akan menjadi le­bih maju apabila berjaya membangunkan modal insan yang berkualiti.

Falsafah ini pernah menjadi teras pentadbiran Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga beliau dikenang sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia.

Bagi beliau, kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi kepada keupayaan membangunkan insan berilmu, berkemahiran dan berintegriti.

Hari ini falsafah tersebut dilihat semakin relevan apabila dunia pekerjaan berubah dengan pesatnya yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi digital.

Kekurangan graduan bukanlah perkara pokok sementelah institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini saban tahun terus me­lahirkan puluhan ribu graduan daripada pelbagai bidang pengajian.

Kajian yang dikendalikan ­melalui Graduate Tracer Study menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan dicatatkan oleh IPT di negara ini me­lebihi 90 peratus.

Pada masa sama, data yang dikeluarkan oleh Jabatan ­Perangkaan Negara pula me­nunjukkan kadar pengangguran graduan terus mencatatkan penurunan.

Cabaran yang lebih besar kini bukan lagi sekadar memastikan graduan memperoleh pekerjaan, tetapi memastikan mereka memiliki kemahiran yang benar-benar memenuhi keperluan industri.

Isu ketidakpadanan kemahiran dan guna tenaga tidak penuh (underemployment) ­masih ­menjadi realiti apabila sebaha­gian graduan bekerja dalam bidang yang tidak memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan kompetensi yang dimiliki oleh mereka.

Nasib graduan

Data yang dibentangkan di Parlimen menunjukkan seramai 1.6 juta siswazah pada tahun 2024 bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kelayakan dan kemahiran mereka.

Ini bermaksud universiti tidak lagi boleh diukur semata-mata melalui bilangan graduan dilahirkan setiap tahun, sebaliknya ukuran sebenar ialah sejauh mana graduan tersebut mampu berkembang menjadi profesional yang tangkas, relevan dan bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pekerjaan.

Jika diperhalusi, negara se­perti Jerman, Switzerland dan Singapura telah lama membina ekosistem pembangunan bakat melalui kerjasama erat antara universiti, industri dan kerajaan bagi memastikan tenaga kerja yang dihasilkan mampu memberi impak kepada pembangunan negara.

Jerman misalnya, telah me­laksanakan sistem Dual Education yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan latihan industri secara serentak, manakala Switzerland pula me­lantik syarikat dan industri sebagai rakan strategik universiti melalui sistem apprenticeship.

Apa yang membezakan negara-negara ini bukan sekadar jumlah universiti, bilangan gra­duan yang dihasilkan atau peluang pekerjaan yang mereka miliki, sebaliknya pembinaan ekosistem pembangunan bakat yang ­menghubungjalinkan akademik dan industri sejak di peringkat awal lagi.

Kini, Malaysia juga bergerak ke arah yang sama apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyempurnakan pelancaran inisiatif Bakat Madani yang merupakan langkah proaktif dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan negara.

Inisiatif ini disasarkan mampu memberi manfaat kepada sekitar 25,000 individu dalam tempoh setahun akan datang, jelas memperlihatkan perubahan pendekatan daripada sekadar menyediakan peluang pekerjaan kepada membangunkan bakat secara lebih sistematik, berterusan dan berlandaskan keperluan industri.

Lebih daripada sekadar program pembangunan bakat, inisiatif ini memperlihatkan pendekatan baharu kerajaan untuk membina ekosistem modal insan negara melalui kerjasama strategik melibatkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Petronas.

Apa yang menarik, Bakat Madani tidak hanya memberi tumpuan kepada penempatan pekerjaan semata-mata, sebaliknya, program ini dibina berasaskan tiga teras utama, iaitu memperkukuh kebolehpasaran dan penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC dan Petronas, memperluas peluang pekerjaan dalam sektor-sektor strategik bernilai tinggi serta memperkasa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar lebih selari dengan keperluan industri semasa.

Keutamaan turut diberikan kepada sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi se­perti semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan pembuatan berteknologi tinggi.

Harus diakui, pembangunan bakat tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata.

Justeru, kerajaan turut menggalakkan PKS, syarikat pemula, industri kreatif, ekonomi digital, teknologi hijau, sektor halal, pelancongan, kesihatan serta universiti bergerak dalam satu ekosistem saling melengkapi.

Atas dasar itu, bagi menggalakkan penyertaan industri dalam pembangunan bakat serta mewujudkan lebih ba­nyak peluang pekerjaan berkualiti, kerajaan turut mengumumkan insentif cukai khas kepada syarikat yang melaksanakan program latihan di bawah
Bakat Madani.

Selaras dengan aspirasi tersebut, beberapa institusi pengajian tinggi telah mengorak langkah melalui pelaksanaan pendekatan universiti-industri, iaitu model pembelajaran yang mengin­tegrasikan pengalaman bekerja dalam industri sebenar sebagai sebahagian daripada kurikulum akademik yang perlu dilalui oleh pelajar.

Latihan industri

Pendekatan ini membolehkan pelajar bukan sahaja memahami asas teori di bilik kuliah, malah membina kompetensi profesio­nal, kemahiran insaniah dan budaya kerja sebelum menamatkan pengajian.

Di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) misalnya, pendekatan ini diterjemahkan menerusi pelaksanaan program Work-Based Learning (WBL) bagi beberapa program akademik termasuk Sarjana Muda Teknologi Media Interaktif.

Melalui model 2+1, pelajar bakal mengikuti pembelajaran akademik selama dua tahun bagi mengukuhkan asas teori serta kemahiran praktikal di universiti sebelum menjalani penempatan industri secara berstruktur selama setahun dengan syarikat-syarikat terpilih.

Tempoh penempatan di industri yang lebih panjang berbanding latihan industri konvensional ini dilihat mampu memberi ruang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dalam projek sebenar industri, mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari serta memba­ngunkan kompetensi yang diperlukan oleh majikan.

Lebih penting, pendekatan WBL turut memberi manfaat kepada pihak industri untuk membimbing dan menilai bakal gra­duan dalam persekitaran ­kerja sebenar, serta mengenal pasti bakat yang berpotensi untuk diserap sebagai tenaga kerja sebaik sahaja mereka menamatkan pe­ngajian.

Hubungan yang lebih erat antara universiti dan industri inilah yang akhirnya ­memperkukuh ekosistem pembangunan bakat negara, sekali gus menyokong aspirasi Bakat Madani untuk melahirkan tenaga kerja yang lebih kompeten, ­adaptif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.

Tuntasnya, kita bergerak dalam satu kitaran yang saling berkait apabila IPT melahirkan graduan, ekosistem membangunkan bakat dan pada akhirnya negaralah yang akhirnya menuai hasilnya melalui modal insan yang berketerampilan.

Semoga Bakat Madani mampu menjadi pelaburan paling berharga negara dalam membangunkan manusia yang memiliki ilmu, nilai, daya fikir dan kesediaan untuk terus belajar sepanjang hayat.

Suhana Abdul Mutalib merupakan Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis.

The post Cabaran besar pastikan graduan penuhi kehendak industri appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved