Cabnet menang kontrak pusat data RM38.68 juta di Selangor

LocalBusiness & Finance
29 May 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cabnet menang kontrak pusat data RM38.68 juta di Selangor Image from: Cabnet menang kontrak pusat data RM38.68 juta di Selangor hamden29/05/2026 - 17:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Mei - Cabnet Holdings Berhad memperoleh kontrak bernilai RM38.68 juta bagi kerja pembekalan dan pemasangan sistem pembendungan pusat data di Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Cabnet Systems (M) Sdn. Bhd. daripada Unique Arena Sdn. Bhd.

 

Menurut Cabnet, penerimaan pesanan pembelian itu dibuat pada 29 Mei 2026 dengan kerja-kerja kontrak dijadual bermula serta-merta dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 November 2026.

 

“Kerja-kerja kontrak ini melibatkan pembekalan dan pemasangan sistem pembendungan pusat data di Selangor dengan jumlah nilai kontrak sebanyak RM38.68 juta,” katanya hari ini.

 

Syarikat itu berkata, kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan serta aset bersih sesaham sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

 

Bagaimanapun, kontrak tersebut tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.

 

Menurut Cabnet, risiko berkaitan projek itu melibatkan risiko operasi dan pelaksanaan biasa dalam perniagaan, namun pihaknya akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan impak risiko terbabit.

 

Lembaga pengarah syarikat berpandangan penerimaan kontrak tersebut adalah dalam urusan perniagaan biasa dan berada dalam kepentingan terbaik kumpulan.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak yang dianugerahkan itu. - DagangNews.com

Terkini standard