16 Ogos penentu nasib DAP dalam Kerajaan Perpaduan

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 1:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 16 Ogos penentu nasib DAP dalam Kerajaan Perpaduan

PETALING JAYA – DAP akan menyerahkan kepada lebih 4,000 perwakilannya untuk menentukan sama ada parti itu kekal atau tidak dalam Kerajaan Perpaduan bagi baki tempoh Parlimen menerusi Persidangan Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 16 Ogos ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, usul berhubung perkara itu akan dibentangkan kepada para perwakilan dan keputusan tidak dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

“Pada malam ini (semalam) juga diputuskan bahawa satu Persidangan Kebangsaan akan diadakan pada 16 Ogos. Dalam persidangan itu, satu usul akan dikemukakan kepada para perwakilan untuk menentukan sama ada DAP kekal dalam kerajaan atau tidak bagi baki tempoh Parlimen,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat CEC DAP di sini malam tadi.

Menurut beliau, lebih 4,000 perwakilan yang layak menghadiri persidangan itu akan diberikan kebebasan sepenuhnya untuk membuat keputusan.

“CEC tidak membuat keputusan mengenai perkara ini kerana kita menyerahkannya kepada kebijaksanaan para perwakilan untuk menentukan sama ada DAP harus kekal dalam kerajaan sehingga akhir tempoh ini ataupun sebaliknya.

“Keputusan itu akan dibuat oleh seluruh para perwakilan, bukan oleh CEC. Keputusan sebesar ini bukan sahaja diputuskan oleh ahli-ahli CEC tetapi oleh para perwakilan parti dalam Persidangan Kebangsaan,” katanya.

Menurut Anthony, walaupun terdapat pelbagai pandangan dalam kalangan anggota CEC, ia hanyalah pandangan peribadi dan tidak akan mempengaruhi proses pengundian.

“Sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi dalaman, kedudukan kita dalam kerajaan bukan ditentukan oleh saya walaupun saya Setiausaha Agung atau oleh pengerusi parti. Perwakilan yang akan membuat keputusan itu sebagai satu keputusan kolektif parti DAP,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 16 Ogos penentu nasib DAP dalam Kerajaan Perpaduan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved