Cadangan DAP keluar kerajaan hanya 'drama politik’ - Wan Saiful

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 4:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cadangan DAP keluar kerajaan hanya 'drama politik’ - Wan Saiful
Wan Saiful mendakwa, DAP akan memainkan hujah kestabilan untuk membolehkan parti itu kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan.

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa DAP tidak akan meninggalkan Kerajaan Perpaduan seperti yang hangat diperkatakan ketika ini, sebaliknya parti itu dijangka kekal sertai Kabinet sehingga tamat penggal.

Menurut beliau, DAP pada hakikatnya tidak akan melepaskan kerusi takhta dan kuasa yang sedang dinikmati ketika ini.

"Ada sesiapa percaya DAP berani keluar kerajaan? Semua ini hanyalah satu lagi drama politik untuk menyedapkan hati penyokong serta ahli parti mereka yang semakin kecewa selepas siri 'malu besar' dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

"Hakikatnya, DAP tak akan mahu lepaskan kerusi takhta dan kuasa yang mereka nikmati sekarang. Idea acah-acah keluar kerajaan hanya gula-gula manis untuk melembutkan hati penyokong mereka saja.

"Saya jangka DAP akan terus bersama dalam Kerajaan Madani sehingga tamat penggal. Mereka akan bagi macam-macam alasan seperti nak jaga kestabilan negara," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini dilapor berkata, perwakilan DAP akan menentukan kedudukan parti itu dalam kerajaan pada persidangan Ahad ini dengan usul mengenai perkara itu akan dibentangkan kepada hampir 4,000 perwakilan sebelum diputuskan.

Ia juga antara lain akan menentukan hala tuju DAP dalam arena politik tanah air secara kolektif.

Mengulas lanjut, Wan Saiful mendakwa, DAP akan memainkan hujah kestabilan untuk membolehkan parti itu kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan.

"Hujah kestabilan hanyalah topeng nak menutup fakta bahawa mereka gagal mentadbir, gagal jaga ekonomi negara, gagal jaga kebajikan rakyat, dan gagal tunai janji-janji sendiri.

"Padahal isyarat penolakan rakyat terhadap agenda kiri DAP sudah jelas terpampang dalam siri PRN sebelum ini," katanya.

Beliau dalam masa sama menggesa agar parti itu segera menghentikan 'drama' untuk keluar kerajaan kerana hakikatnya sebenar adalah berbeza daripada apa yang dilaungkan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved