
KULAI: DAP Johor memberi kebebasan kepada lebih 400 perwakilannya untuk membuat keputusan sama ada mahu kekal dalam Kerajaan Perpaduan atau mengundurkan diri susulan keputusan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN), sebelum ini.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, pihaknya tidak memberikan apa-apa ketetapan kepada perwakilan negeri itu sebaliknya memberikan kepercayaan penuh kepada mereka untuk membuat pilihan masing-masing.
Menurut beliau, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat peringkat negeri dan sesi dialog yang telah diadakan bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, semalam.
“Di Johor, kita tiada buat ketetapan tertentu sebaliknya memberi kebebasan penuh kepada perwakilan untuk membuat keputusan masing-masing pada Ahad ini. Jadi terpulang kepada mereka.
“Menerusi mesyuarat semalam, kita turut adakan sesi dialog dimana perwakilan boleh menyuarakan pendapat masing-masing berhubung perkara ini. Mereka faham perjuangan dan prinsip parti, jadi, saya percaya mereka akan buat keputusan terbaik untuk hala tuju parti dan negara,” katanya pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Serahan Cek Cura Sekolah Angkat Madani Kementerian Komunikasi di Sekolah Kebangsaan Murni Jaya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung Kongres Kebangsaan DAP yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut berkata, DAP Johor akan akur dengan keputusan diambil konvensyen tersebut selepas sesi pengundian oleh seramai 4,264 perwakilan dari seluruh negara.
“Johor akan akur dengan keputusan pada Hari Ahad nanti. Saya sendiri juga sama kerana itu adalah persidangan tertinggi untuk kita buat satu-satu keputusan. Jadi mestilah kita akur,” katanya.
Pada masa sama, Nie Ching yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan memberitahu pihaknya akan terus memperkukuh kedudukan parti bagi berdepan pilihan raya-pilihan raya akan datang.-UTUSAN
The post DAP Johor beri kebebasan perwakilan buat keputusan, kekal atau keluar kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.






