BAGAN DATUK - Barisan Nasional (BN) tidak mahu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya di negeri lain meskipun mencatat momentum positif pada beberapa pilihan raya negeri (PRN) termasuk di Melaka, Sabtu lepas.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun, keputusan berhubung perkara itu diserahkan kepada pemimpin negeri masing-masing untuk menilai kesesuaian mengadakan pilihan raya.
"Kita baru saja selesai di Melaka. Jadi, kita tidak mahu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya di negeri-negeri lain.
"Saya serahkan kepada Ketua Menteri ataupun Menteri Besar di negeri masing-masing untuk melihat situasinya dan mempersembahkan kepada Tuanku serta memberikan nasihat kepada Tuanku-Tuanku serta Tuan-Tuan Yang Terutama Negeri, Yang Dipertua Negeri jika perkara itu bersesuaian. Tetapi, biarlah kita selesaikan satu per satu dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 PLKN 3.0 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya PRN turut diadakan di Perak dan Pahang, dua negeri yang ditadbir menerusi kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH).
Mohd Puad dilaporkan berkata, cadangan itu susulan kejayaan formula kerjasama BN-Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan kedua-dua gabungan berkenaan mencatat kemenangan besar pada PRN Melaka ke-16, Sabtu lepas.
Pada PRN itu, daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, BN memenangi 21 kerusi, manakala PH memperoleh empat kerusi dan PN tiga kerusi. - Bernama






