
Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee menggesa agar sebuah Pusat Konfusius ditubuhkan di Sabah — berbeza daripada Institut Konfusius yang berafiliasi dengan Republik Rakyat China dan kini beroperasi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Yong yang juga Pengerusi POIC Sabah membuat seruan itu ketika menyampaikan ucapan pada majlis Dialog Peradaban Konfusian–Islam bertemakan ‘Memperkukuh Pertukaran dan Pembelajaran Bersama antara Peradaban Konfusius dan Islam demi Keamanan serta Pembangunan Dunia’ yang diadakan pada Selasa di Dewan Bankuasi, UMS.
Majlis itu menegaskan bahawa sejarah hubungan antara Islam dan Konfusianisme berasaskan keharmonian dan bukan kebencian, kewujudan bersama bukan pemisahan serta keterangkuman bukan pengecualian.
Pengalaman sejarah sebegini diyakini dapat menyumbang kepada dialog global antara peradaban masa kini dan membantu menyelesaikan konflik antara agama serta bangsa.
Acara dianjurkan Fakulti Pengajian Islam, UMS dengan kerjasama Sekolah Falsafah dan Pengajian Agama Universiti Minzu China.
Dalam ucapannya Yong mengenang lawatannya dahulu ke tempat kelahiran, kuil dan muzium Konfusius di Qufu, wilayah barat daya Shandong, China yang disifatkan sebagai satu pengalaman serta pencerahan rohani yang tidak dapat dirasai hanya dengan membaca karya falsafah tokoh tersebut.
Justeru itu beliau mencadangkan agar Pusat Konfusius Sabah kelak boleh menjadi sebahagian daripada Muzium Cina Sabah yang dicadangkan sebelum ini untuk menempatkan artifak seperti Syiling Judas serta bahan sejarah lain — satu idea yang pernah dikemukakan oleh Ketua Editor Daily Express Datuk James Sarda.
Dalam pada itu Yong menyatakan bagi memastikan keharmonian antara bangsa dan peradaban, kuncinya adalah saling menghormati dan tidak memaksakan nilai sendiri terhadap orang lain.
“Setiap individu harus memiliki kesedaran hidup bersama secara harmoni, saling menyayangi dan saling menguntungkan dengan berpegang kepada prinsip memberi manfaat bukan memudaratkan.
“Prinsip belas kasihan dan cinta sejagat pula menjadi asas etika dalam pembinaan komuniti,” katanya.
Yong menegaskan bahawa suasana sosial yang berteraskan tolong-menolong, saling menguntungkan dan kejayaan bersama adalah syarat penting dalam membina komuniti.
Manurutnya walaupun agama dan sistem peradaban utama dunia berbeza namun semuanya berkongsi matlamat asas yang sama.

