Cadangan Wujudkan Jawatan Timbalan Exco Dikaji, Beri Peluang Lebih Ramai ADUN Main Peranan - MB

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 12:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Cadangan Wujudkan Jawatan Timbalan Exco Dikaji, Beri Peluang Lebih Ramai ADUN Main Peranan - MB

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan sedang meneliti cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi beberapa portfolio utama, susulan pembentukan pentadbiran baharu negeri itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, cadangan tersebut bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai wakil rakyat daripada parti-parti yang membentuk kerajaan negeri, termasuk Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), untuk memainkan peranan dalam pentadbiran.

Menurut beliau, kekangan jumlah jawatan Exco menyebabkan tidak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat dilantik menganggotai barisan pentadbiran negeri.

"Kita mungkin tidak dapat menempatkan semua wakil rakyat dalam barisan Exco. Oleh itu, kita sedang mempertimbangkan pelantikan Timbalan Exco bagi beberapa portfolio yang saya lihat penting,” katanya kepada pemberita selepas memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar di Wisma Negeri, hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu merupakan pendekatan baharu yang sedang dipertimbangkan kerajaan negeri, namun jumlah jawatan Timbalan Exco bakal diwujudkan masih belum dimuktamadkan.

Dalam perkembangan sama, Ismail memaklumkan perbincangan berhubung pelantikan seorang Exco kanan masih berlangsung, walaupun jawatan itu sememangnya diperuntukkan dalam struktur pentadbiran negeri.

Barisan Exco baharu dijangka diumumkan selewat-lewatnya awal minggu depan, dengan sasaran seawal Jumaat ini.

Ismail, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, memulakan tugas rasminya pada jam 9 pagi dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim bersama barisan pegawai kanan kerajaan.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kesembilan pada Ahad lalu di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Besar Seri Menanti.

Pelantikannya dibuat selepas gabungan BN memperoleh 18 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tujuh kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN, sekali gus membolehkan kedua-dua gabungan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Mengulas dakwaan berhubung campur tangan pihak luar dalam proses pelantikannya sebagai Menteri Besar, Ismail menegaskan semua prosedur telah dipatuhi sepenuhnya.

“Saya tidak mengikuti perkara itu secara terperinci, namun saya percaya semua prosedur telah dilaksanakan dengan betul. Proses pelantikan berjalan mengikut tatacara yang ditetapkan. Selain itu, saya tiada komen,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Wawasan Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Rais Yatim, yang sebelum ini mempersoalkan proses pelantikan Menteri Besar dengan mendakwa wujud campur tangan luar membabitkan adat istiadat negeri serta perkara berkaitan Perlembagaan.

Ismail bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengulangi bahawa pelantikannya dibuat mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Menyentuh pembentukan barisan Exco negeri, beliau berkata keputusan sama ada Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, akan menganggotai Exco bergantung sepenuhnya kepada pendirian Ahli Parlimen dan ADUN itu sendiri.

“Perbincangan terperinci belum diadakan. Beliau merupakan Ahli Parlimen dan juga ADUN, jadi terpulang kepada beliau sama ada mahu menyertai barisan Exco atau sebaliknya,” katanya.

Sebelum ini, Jalaluddin dilaporkan tidak berhasrat menawarkan diri untuk dilantik sebagai Exco kerana mahu memberi peluang kepada wakil rakyat lain, sambil menyerahkan keputusan muktamad kepada Menteri Besar.

“Saya bersikap terbuka. Saya sudah lama dalam politik dan bukan mengejar jawatan. Masih banyak perkara perlu dilaksanakan termasuk merealisasikan manifesto BN, menunaikan janji kepada rakyat serta memperbaiki segala kelemahan,” katanya.

Pembentukan pentadbiran baharu Negeri Sembilan menyusul selepas kemenangan gabungan BN dan PN yang menguasai 25 daripada 36 kerusi DUN pada PRN baru-baru ini, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk mentadbir negeri. - Getaran, 4 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved