“Tatacara Pelantikan MB Diikuti Dengan Betul”- Menteri Besar Negeri Sembilan

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 4:50 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Tatacara Pelantikan MB Diikuti Dengan Betul”- Menteri Besar Negeri Sembilan

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini Pengerusi Wawasan, Tan Sri Rais Yatim telah mempersoal mengenai urusan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan malah beliau turut mendakwa wujudnya campur tangan dari pihak luar berhubung urusan adat dan juga perlembagaan Negeri Sembilan.

Persoalan itu dibangkitkan oleh bekas Menteri Negeri Sembilan itu menerusi satu video.

MB Negeri Sembilan tegaskan tatacara pelantikan diikuti dengan betul

Susulan itu Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru dilantik, Datuk Ismail Lasim menegaskan pelantikannya pada 2 Ogos yang lalu bagi jawatan tersebut dilakukan dengan teratur dan mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

“Saya rasa tatacara pelantikan diikuti dengan betul,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Lasim Dilantik MB Negeri Sembilan Ke-12

Enggan komen selain dari itu

Perkara itu dijawab oleh Ismail selepas diminta untuk mengulas berhubung isu yang dibangkitkan oleh Rais mengenai pelantikan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Beliau juga enggan mengulas lebih lanjut mengenai hal tersebut.

“Saya tak berapa mengikuti, tetapi saya rasa tatacaranya telah diikuti dengan betul. Tatacara pelantikan telah diikut dengan betul.

“Lain daripada itu saya tak ada komen,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu, lapor Astro Awani.

Rais Yatim dakwa ada campur tangan orang luar

Terdahulu, Rais Yatim dalam satu video mengatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam suasana yang tiada diperhitungkan atau diperincikan dalam media.

“Apakah yang dibincangkan yang menyebabkan seseorang luaran (orang luar) masuk ke dalam arena adat dan perlembagaan Negeri Sembilan sehingga mencaturkan kedudukan seperti yang diketahui oleh umum pada hari ini.

“Seharusnya keadaan dalam Negeri Sembilan dari segi adatnya orang luar tidak boleh campur tetapi ini sudah berlaku dan dengan itu pula diketahui pada hari ini bahawa seseorang yang tidak disangka-sangka telah dilantik sebagai Menteri Besar.

“Dalam soal sedemikian, adakah Undang Yang Empat bersetuju? Adakan Undang Yang Empat diperhitungkan, setahu saya tidak ada,” ujarnya.

Rais berpendapat jasa Jalaluddin Alias dilupakan

Kata Rais Yatim lagi, berlaku keciciran dalam membalas budi pemimpin-pemimpin yang sudah bertungkus lumus diketepikan, seperti Datuk Seri Jalaluddin Alias yang sudah tidak dilihat jasanya diiktiraf dalam bentuk budi yang seharusnya diperhitungkan.

Beliau turut berpendapat sekiranya perkara itu terus berlaku ia akan menyebabkan adat di Negeri Sembilan ditentukan oleh orang luar bukan sanak (kaum kerabat/ atau orang yang seketurunan) yang ada di Negeri Sembilan.

“Dalam hal ini juga boleh dikatakan tidak ada ruang seperti duriannya yang berbau baik, tiada sesuatu padi yang berada di lopaknya yang boleh dituai. Ke manakah adat Negeri Sembilan selepas ini?

“Setiap orang yang bernama warga Negeri Sembilan harus menjawabnya.”

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved