Cahya Mata tunggu kelulusan kerajaan Sarawak bagi pembinaan Clinker Line 2

16/04/2025 - 10:37
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 16 April – Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Cahya Mata Cement Sdn Bhd, kini menunggu kelulusan rasmi daripada kerajaan Sarawak bagi memulakan pembinaan barisan pengeluaran Clinker Line 2 di Mambong.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu menyatakan sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, Penasihat Undang-Undang Kumpulan Cahya Mata, Izzam Ibrahim berkata, kumpulan itu dalam persiapan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar klinker terbesar di Borneo melalui projek Clinker Line 2 tersebut.
"Kami telah bersedia dari segi tenaga kerja dan proses perolehan. Kini hanya menunggu kelulusan agar projek ini dapat dimulakan," katanya dalam sidang media sempena Rumah Terbuka Aidilfitri syarikat di Kuching hujung minggu lalu.
Projek Clinker Line 2 dijadualkan siap pada Mac 2027 dan bakal menambah 6,000 tan kapasiti pengeluaran klinker setiap hari.
Dengan pelaksanaan projek itu, pengeluaran klinker tahunan syarikat akan meningkat dua kali ganda daripada 900,000 tan kepada 1.92 juta tan.- DagangNews.com
standard
