CRESS buka peluang tender EPCC sehingga RM18 bilion dalam dua tahun - CGSI

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2026 • 10:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CRESS buka peluang tender EPCC sehingga RM18 bilion dalam dua tahun - CGSI Image from: CRESS buka peluang tender EPCC sehingga RM18 bilion dalam dua tahun - CGSI sarah08/10/2026 - 10:54 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Okt - Pelaksanaan lebih pantas Skim Bekalan Tenaga Hijau Korporat (CRESS) dijangka membuka peluang tender kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM12 bilion hingga RM18 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang, menurut CGS International (CGSI).

 

“Secara kumulatif, peluang pasaran EPCC secara teori boleh mencecah RM60 bilion hingga RM110 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan oleh penganalisis Dharmini Thuraisingam.

 

CGSI berkata, manfaat CRESS turut merangkumi pemilikan aset tenaga boleh diperbaharui (RE) yang menjana pendapatan berulang serta peningkatan pelaburan rangkaian penghantaran dan pengagihan (T&D), sekali gus memanjangkan kitaran pelaburan sektor utiliti Malaysia.

 

Menurutnya, tarif CRESS pada kadar 44 hingga 46 sen setiap kilowatt-jam (kWh) menjadikan tenaga hijau 6% hingga 10% lebih murah berbanding tenaga konvensional, sekali gus berpotensi menarik pengguna komersial dan perindustrian berskala besar.

 

Daya tarikan itu disokong Pakej Percepatan interim Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang mengurangkan Caj Akses Sistem (SAC) sebanyak 30% kepada kadar rata 14 sen/kWh selama 10 tahun bagi projek yang mencapai tarikh operasi komersial menjelang akhir 2028.

 

Pengurangan SAC itu dianggarkan menurunkan tarif keseluruhan CRESS sebanyak 11% hingga 12%, menjadikannya 2 hingga 7 sen/kWh lebih murah berbanding elektrik konvensional bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi, sebelum mengambil kira pelarasan automatik (AFA).

 

Permintaan meluas di luar pusat data

CGSI berkata, CRESS mengubah model pertumbuhan RE Malaysia daripada sistem berasaskan kuota kepada pasaran dipacu permintaan, dengan peluang berkembang daripada pusat data kepada syarikat multinasional dan syarikat tersenarai yang mempunyai sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Ia menganggarkan pengurangan SAC boleh membuka tambahan 7 hingga 8 gigawatt (GW) permintaan daripada pengguna komersial dan perindustrian, bersamaan kira-kira 45% daripada asas permintaan sedia ada.

 

Dengan mengambil kira perjanjian bekalan tenaga pusat data berjumlah 8.4GW yang telah dimeterai setakat akhir Jun 2026, jumlah permintaan berpotensi meningkat kepada 15 hingga 16GW, hampir dua kali ganda anggaran terdahulu.

 

Berdasarkan andaian 20% hingga 30% daripada permintaan itu beralih kepada CRESS dan faktor kapasiti solar sebanyak 22%, saiz pasaran CRESS secara teori dianggarkan antara 15 hingga 21GWac, berbanding hanya 3.2GW projek yang telah mendapat komitmen setakat ini.

 

Selain menyokong potensi pasaran EPCC bernilai RM60 bilion hingga RM110 bilion dalam tempoh lima tahun, kapasiti itu berpotensi mengelakkan pelepasan 21 juta hingga 30 juta tan karbon dioksida setara setahun.

 

Bagaimanapun, CGSI menganggap pelaksanaan kapasiti CRESS sebanyak 3 hingga 4GWac menjelang 2028 lebih realistik berdasarkan keupayaan grid, dengan kadar pelaksanaan bergantung kepada penyelarasan sumber dan projek.

 

Pemilik aset dan tanah turut mendapat manfaat

CGSI berkata, penggunaan CRESS yang lebih meluas memerlukan pelaburan T&D lebih besar untuk mengintegrasikan bekalan RE yang berubah-ubah, sekali gus berpotensi mengekalkan perbelanjaan modal yang tinggi sehingga Tempoh Kawal Selia Kelima (RP5).

 

“Bagaimanapun, kami melihat landasan pertumbuhan CRESS terus berkembang, dengan permintaan yang meningkat berpotensi membuka ruang kepada SAC RP5 yang lebih rendah berbanding kadar asas 20 sen/kWh,” katanya.

 

Dari sudut pasaran saham, manfaat CRESS dijangka meliputi syarikat EPCC solar, pemilik aset RE, pemain rangkaian T&D serta syarikat hartanah dan perladangan yang memiliki simpanan tanah besar di lokasi strategik.

 

Menurut CGSI, pembangunan RE yang lebih pantas akan meningkatkan permintaan terhadap tanah, menyokong nilainya dan membuka peluang kepada syarikat hartanah serta perladangan untuk menjana pulangan daripada aset sedia ada.

 

CGSI mengekalkan penarafan ‘Overweight’ terhadap sektor utiliti Malaysia, dengan Tenaga Nasional Bhd, Malakoff Corp Bhd dan YTL Power International Bhd sebagai pilihan utama dalam kalangan syarikat bermodal besar yang sahamnya aktif diniagakan.

 

Sejak pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) pada Ogos 2023, kerajaan telah melaksanakan projek baharu RE berkapasiti keseluruhan 13.6GW, kira-kira empat kali ganda berbanding 3.4GW yang dianugerahkan antara 2016 hingga pertengahan 2023.

 

Pelaburan grid menyokong pertumbuhan berterusan

Bagi rangkaian T&D, Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan pelaburan sebanyak RM42.8 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) bagi 2025 hingga 2027, hampir dua kali ganda peruntukan di bawah RP3.

 

CGSI berkata, kira-kira RM47 bilion daripada peruntukan berkaitan T&D di bawah NETR masih belum dibelanjakan, memberikan ruang kepada peningkatan pelaburan semasa RP5 serta manfaat berterusan kepada Tenaga Nasional dan pemain rantaian bekalan grid. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved