Saham syarikat tenaga boleh diperbaharui antara paling rugi susulan pendedahan caj tambahan grid CRESS

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 6:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham syarikat tenaga boleh diperbaharui antara paling rugi susulan pendedahan caj tambahan grid CRESS Image from: Saham syarikat tenaga boleh diperbaharui antara paling rugi susulan pendedahan caj tambahan grid CRESS johardy14/10/2026 - 18:48 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt - Saham syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) antara kaunter yang mencatatkan penurunan teruk di Bursa Malaysia hari ini susulan penjelasan bahawa jumlah caj akses sistem bagi bekalan tetap di bawah Pakej Pemerkasaan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) ialah 18 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj).

 

Jumlah itu merangkumi 14 sen/kWj yang dibayar pemaju RE dan tambahan empat sen/kWj yang ditanggung pengguna elektrik hijau.

 

Samaiden Group Bhd ditutup susut 28 sen atau 9.12% kepada RM2.79 dengan 10.97 juta saham diniagakan, mencatatkan penurunan peratusan terbesar dalam kalangan lima kaunter RE yang dipantau.

 

Cypark Resources Bhd turun tujuh sen atau 8.75% kepada 73 sen dengan 16.65 juta saham bertukar tangan selepas pulih daripada paras terendah harian 68 sen.

 

Pekat Group Bhd merosot 23 sen atau 7.90% kepada RM2.68 manakala Solarvest Holdings Bhd susut 23 sen atau 5.61% kepada RM3.87. Sebanyak 23.57 juta saham Solarvest diniagakan.

 

Northern Solar Holdings Bhd mengecilkan kerugian untuk ditutup turun empat sen atau 3.39% kepada RM1.14 selepas mencecah paras terendah harian 96.5 sen. Jumlah dagangan kaunter itu ialah 6.94 juta saham.

 

Kejatuhan mendadak saham Northern Solar pada sesi pagi turut mencetuskan penggantungan jualan singkat intrahari bagi kaunter berkenaan, yang akan diaktifkan semula pada 15 Oktober 2026 pukul 8.30 pagi.

 

Caj tambahan naikkan anggaran kos elektrik CRESS

Tekanan jualan saham RE menyusuli penjelasan Suruhanjaya Tenaga semalam mengenai dua komponen caj akses sistem tersebut, yang menjadikan jumlah caj efektif sebanyak 18 sen/kWj berbanding kadar 14 sen/kWj yang diumumkan bulan lalu.

 

Caj tambahan empat sen/kWj itu terpakai sepanjang tempoh kawal selia semasa yang berakhir pada 2027 dan tertakluk kepada semakan mengikut kitaran kawal selia tiga tahun. CRESS membolehkan pemaju RE menjual elektrik terus kepada pelanggan korporat melalui grid nasional yang dikendalikan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

CGS International menganggarkan keseluruhan kos elektrik yang dibekalkan di bawah CRESS meningkat sebanyak 8% hingga 9% kepada antara 48 sen dan 50 sen/kWj berbanding anggaran terdahulu antara 44 sen dan 46 sen/kWj.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos lebih tinggi boleh menjejaskan permintaan pelanggan komersial dan perindustrian di luar segmen pusat data, termasuk pengeluar elektrik dan elektronik, hospital serta pusat beli-belah.

 

Menurutnya, potensi permintaan tambahan sebanyak tujuh hingga lapan gigawatt daripada pelanggan berkenaan kini menjadi kurang pasti kerana anggaran tarif CRESS yang disemak itu secara umumnya setanding dengan tarif elektrik konvensional sebelum pelarasan kos bahan api.

 

Pusat data kekal pemacu permintaan

Bagaimanapun, CGS International menjangkakan pusat data kekal menjadi sumber utama permintaan CRESS kerana anggaran tarif elektrik hijau yang disemak itu masih lebih rendah berbanding kira-kira 60 sen/kWj yang dibayar pusat data besar bagi elektrik konvensional, tidak termasuk pelarasan bahan api automatik.

 

Firma itu mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor utiliti Malaysia dengan TNB, Malakoff Corp Bhd dan YTL Power International Bhd sebagai saham pilihan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved