
SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengendalikan sebuah klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan.
Dr. Azizul Hakim Mahdi, 35, bersama Noor Ameeraa Rahmat, 35, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakah di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka selaku pengarah syarikat didakwa secara bersama-sama menyediakan sebuah klinik perubatan swasta yang tidak didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah klinik di Taman Bandar Senawang di sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 8 Julai lalu.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 5(2)(a) Akta 586 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(2)(aa) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun atau kedua-duanya.
Dalam prosiding sama, syarikat milik mereka turut didakwa menyediakan sebuah klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta 586.
Pertuduhan terhadap syarikat dikemukakan mengikut Seksyen 5(1) Akta 586 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia, Haslina Zamani manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Abdul Fateh Mohd. Rahmat. – UTUSAN
The post Calon PH DUN Rantau, isteri didakwa buka klinik tidak berdaftar appeared first on Utusan Malaysia.






