Niat mahu menawarkan perkhidmatan kesihatan akhirnya membawa padah apabila sebuah syarikat bersama dua pengarahnya dihadapkan ke mahkamah.
Tertuduh yang merupakan bekas calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Rantau iaitu Dr Azizul Hakim Mahdi dan isterinya Noor Ameera Rahmat bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Memetik laporan Harian Metro, kejadian berkenaan terbongkar selepas pemeriksaan dilakukan di sebuah premis yang terletak di Taman Bandar Senawang kira-kira jam 11.30 pagi pada 8 Julai lalu.
Berdepan denda hingga RM500,000
Mengikut pertuduhan utama, syarikat berkenaan didapati menyediakan klinik perubatan swasta tanpa mendaftarkannya terlebih dahulu di bawah undang-undang kesihatan yang ditetapkan.

Oleh itu, tertuduh telah melanggar peruntukan Seksyen 4(1) Akta 586 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Akta 586 yang boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(1)(b) akta yang sama.
Hukuman bagi kesalahan ini bukan cikai-cikai kerana jika sabit kesalahan, pihak syarikat boleh dikenakan denda yang cukup tinggi iaitu tidak melebihi RM500,000.
Hukuman penjara 6 tahun

Bukan sahaja syarikat yang terpalit, malah kedua-dua pasangan suami isteri ini turut berdepan pertuduhan secara individu atas kapasiti mereka selaku pengarah syarikat.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh selaku pengarah syarikat secara bersama-sama telah didapati menyediakan klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta 586.
Oleh itu, tertuduh telah melanggar peruntukan Seksyen 4(1) Akta 586 dan melakukan suatu kesalahan bawah Seksyen 5(2)(a) Akta 586 yang boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(2) (aa) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM300,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.






