Camaroe meterai perjanjian taja jamin dengan M & A Securities menjelang IPO di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2025 • 1:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Camaroe meterai perjanjian taja jamin dengan M & A Securities menjelang IPO di Pasaran ACE

image is not available

29/07/2025 - 13:03

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Julai – Syarikat akuakultur bersepadu, Camaroe Berhad, memeterai perjanjian taja jamin bersama M & A Securities Sdn Bhd menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Berdasarkan prospektus yang disiarkan di Bursa Malaysia, tawaran awam permulaan (IPO), Camaroe melibatkan terbitan 99 juta saham baharu serta menawarkan 49.5 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih dan orang awam.

Camaroe, yang ditubuhkan pada 2009 dan berpusat di Kapar, Selangor, mengusahakan 138 kolam udang harimau hitam di lima ladang pantai selain mengendalikan kemudahan pemprosesan sendiri.

Syarikat itu memaklumkan, produk keluarannya termasuk udang hidup dan beku dipasarkan kepada pemborong tempatan dan pembeli antarabangsa dari China, Korea Selatan dan Taiwan.

“Hasil IPO akan digunakan untuk membina kilang pemprosesan baharu di Bukit Raja, membeli mesin dan peralatan baharu, memasang panel solar serta menubuhkan jabatan bioteknologi,” katanya.

Pengarah Urusan Camaroe, Teoh Han Boon berkata, penyenaraian di Pasaran ACE akan menyediakan asas kukuh untuk mengembangkan kapasiti pemprosesan, meningkatkan kemampanan dan memperkukuh kedudukan syarikat di pasaran eksport.

“Kami komited untuk membina Camaroe sebagai jenama akuakultur serantau yang dipercayai, dengan tumpuan terhadap inovasi, keberkesanan operasi dan tanggungjawab alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Sebanyak 24.75 juta saham IPO diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 12.38 juta kepada pihak layak seperti pengurusan dan pekerja serta 61.87 juta saham untuk penempatan khas kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sebanyak 49.5 juta saham sedia ada pula ditawarkan kepada pelabur terpilih menerusi penempatan swasta.

M & A Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin dan Ejen Penempatan bagi penyenaraian tersebut.

Penyenaraian ini dijangka memberi dorongan baharu kepada industri akuakultur negara, sekali gus memperkukuh daya saing eksport udang tempatan di peringkat serantau. - DagangNews.com

standard