amree10/09/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept — New Hoong Fatt Holdings Berhad (NHF) melabur RM20 juta dalam dana modal teroka (VC), yang membolehkannya memanfaatkan peluang syarikat baharu berpotensi tinggi sambil mengekalkan tumpuan kepada perniagaan alat ganti automotif.
Anak syarikatnya, Jhi Soon Manufacturing Industries Sdn Bhd, memeterai Perjanjian Langganan Saham (SSA) dengan Cypress Drive Ventures Sdn Bhd (FundCo) dan Cypress Asia Capital Sdn Bhd bagi melanggan 20 juta saham keutamaan boleh tebus (RPS) berharga RM1 sesaham.
Pelaburan itu yang dimeterai pada 10 September 2026, akan dibiayai menggunakan dana dalaman kumpulan dan dibuat secara berperingkat berdasarkan panggilan modal daripada FundCo, dengan komitmen maksimum RM20 juta.
FundCo merupakan dana modal teroka khas yang ditubuhkan untuk mengumpul dana daripada pelabur bagi melabur dalam syarikat peringkat pertumbuhan yang mempunyai potensi tinggi serta prospek pertumbuhan jangka panjang.
Dana akan diuruskan Cypress Asia Capital, sebuah syarikat pengurusan modal teroka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan terlibat dalam mengenal pasti, menilai serta mengurus pelaburan syarikat pemula.
Pelaburan FundCo dijangka diuruskan untuk tempoh tujuh tahun dari tarikh SSA, dengan pilihan melanjutkan tempoh sehingga dua kali, masing-masing selama 12 bulan tertakluk kepada persetujuan bertulis pelabur.
NHF juga jelasnya, akan dapat berperanan aktif dalam jawatankuasa pelaburan FundCo melalui dua wakil, manakala sebarang keputusan bakal memerlukan majoriti mudah serta sekurang-kurangnya satu undi daripada wakil NHF.

Dari segi pulangan, RPS itu memberi NHF hak mengambil bahagian dalam agihan hasil dana daripada realisasi pelaburan, termasuk pemulangan modal, pulangan keutamaan dan perkongsian keuntungan mengikut terma SSA.
Bagaimanapun, pelaburan modal teroka turut membawa risiko kehilangan sebahagian atau keseluruhan modal, kerana syarikat sasaran mungkin kepada isu pelaksanaan, penerimaan pasaran, persaingan, serta perubahan teknologi.
NHF turut berdepan risiko kecairan kerana pelaburan dalam syarikat tidak tersenarai mungkin sukar dijual, selain risiko tumpuan portfolio memandangkan FundCo dijangka melabur dalam hanya sekitar lima hingga tujuh syarikat.
Walaupun begitu, NHF menjangkakan pelaburan itu tidak memberi kesan material terhadap modal saham, pendapatan sesaham, aset bersih, atau pegangan pemegang saham utama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Nisbah peratusan tertinggi transaksi hanya 3.39%, menyebabkan pengumuman tersebut dibuat secara sukarela dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia. - DagangNews.com






