Capital A catat kerugian komprehensif RM446 juta susulan kejatuhan nilai saham pegangan dalam AirAsia

Business & Finance
25 Nov 2026 • 6:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Capital A catat kerugian komprehensif RM446 juta susulan kejatuhan nilai saham pegangan dalam AirAsia Image from: Capital A catat kerugian komprehensif RM446 juta susulan kejatuhan nilai saham pegangan dalam AirAsia johardy25/11/2026 - 18:53 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Capital A Berhad mencatat kerugian komprehensif RM445.98 juta pada suku ketiga susulan kejatuhan nilai pegangannya dalam AirAsia Group Berhad dan Tune Protect Group Berhad.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kerugian nilai saksama RM456.1 juta daripada kedua-dua pelaburan itu diiktiraf dalam pendapatan komprehensif lain bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Sept. Capital A mencatat pendapatan komprehensif RM1.02 bilion pada suku sama tahun lalu.

 

Untung bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham susut 96.9% kepada RM21.54 juta daripada RM695.38 juta.

 

Keputusan suku sama tahun lalu merangkumi keuntungan RM917.27 juta yang boleh diagihkan kepada pemegang saham daripada operasi penerbangan yang dilupuskan Capital A pada Januari 2026.

 

Operasi berterusan kembali mencatat keuntungan RM21.54 juta yang boleh diagihkan kepada pemegang saham, berbanding kerugian RM221.89 juta setahun sebelumnya.

 

Berbanding suku sebelumnya, hasil meningkat sedikit kepada RM811 juta daripada RM809 juta, manakala keuntungan sebelum cukai naik kepada RM36.9 juta daripada RM30.5 juta, terutamanya kerana kerugian pertukaran asing berkurangan.

 

Bagi sembilan bulan pertama, Capital A merekodkan kerugian komprehensif RM721.12 juta apabila kerugian nilai saksama kedua-dua pelaburan itu mencecah RM811 juta.

 

Kumpulan mencatat aliran keluar tunai bersih RM12.1 juta berbanding aliran masuk RM515.1 juta setahun sebelumnya. Operasi berterusan pula menjana aliran masuk tunai daripada aktiviti operasi sebanyak RM149 juta berbanding aliran keluar RM434.31 juta.

 

AirAsia MOVE catat kerugian

AirAsia MOVE mencatat kerugian selepas cukai RM12.80 juta berbanding keuntungan RM2.24 juta pada suku sama tahun lalu. Platform pelancongan itu meraih keuntungan sebelum cukai RM748,000 dan merekodkan perbelanjaan cukai RM13.55 juta.

 

Jualan tempat duduk penerbangan AirAsia menerusi MOVE susut 25% kepada 10.7 juta apabila kapasiti penerbangan berkurangan. Jualan produk dan perkhidmatan tambahan pula merosot 22% kepada enam juta unit.

 

Hasil segmen Santan susut 32.7% kepada RM39.63 juta, manakala keuntungan selepas cukai turun 38.4% kepada RM6.16 juta. Menurut Capital A, peralihan kepada penerbangan jarak dekat memendekkan tempoh jualan dalam pesawat.

 

Hasil segmen AirAsia Next susut 13.6% kepada RM67.60 juta apabila pengurangan jumlah tempat duduk yang tersedia untuk dijual menjejaskan kutipan fi jenama. Keuntungan selepas cukai turun kepada RM15.85 juta daripada RM19.49 juta, menurut jadual prestasi segmen dalam makluman itu.

 

BigPay terima pendahuluan RM9.82 juta

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Capital A berkata ia menyalurkan pendahuluan RM9.82 juta kepada BigPay Pte. Ltd. melalui anak syarikatnya, Move Digital Sdn Bhd, antara Julai dan September.

 

Capital A turut menyalurkan pendahuluan US$50,000, bersamaan kira-kira RM204,000, kepada Biglife (Thailand) Co. Ltd. pada Ogos melalui anak syarikatnya, Biglife Sdn Bhd.

 

Capital A berkata pendahuluan itu tidak memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan nisbah penggearan kumpulan.

 

Dalam laporan suku tahunannya, Capital A berkata cadangan penstrukturan semula Move Digital mungkin melibatkan penjualan pegangan 99.56% dalam BigPay, yang masih mencatat kerugian.

 

Capital A mengekalkan sasaran dalaman bagi hasil dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tahun penuh dalam julat 10% di atas atau di bawah paras 2025. Kumpulan menjangkakan permintaan kukuh pada suku keempat. — DagangNews.com

 

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved