AirAsia dijangka catat prestasi lebih kukuh pada 4Q26 susulan lonjakan penumpang dari China - HLIB

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 9:56 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia dijangka catat prestasi lebih kukuh pada 4Q26 susulan lonjakan penumpang dari China - HLIB Image from: AirAsia dijangka catat prestasi lebih kukuh pada 4Q26 susulan lonjakan penumpang dari China - HLIB hamden25/11/2026 - 09:56 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - AirAsia Group Bhd (AAGB) dijangka mencatatkan prestasi kewangan lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4Q26), didorong peningkatan permintaan perjalanan sempena musim percutian hujung tahun, susulan penyusutan kerugian teras pada suku ketiga 2026 (3Q26).

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, petunjuk pemulihan permintaan semakin kukuh menjelang 4Q26, disokong lonjakan trafik kemasukan dari China serta perjalanan dalam rantau ASEAN yang kekal memberangsangkan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, AAGB merancang meningkatkan kapasiti penerbangan kira-kira 15% pada 4Q26 berbanding suku sebelumnya bagi memanfaatkan momentum perjalanan hujung tahun, sekali gus memulihkan kapasiti operasi kepada paras 4Q25.

 

Walaupun harga bahan api jet dijangka meningkat berbanding 3Q26, AAGB berjaya menaikkan tambang purata bagi melindungi margin keuntungannya.

 

Bagi 3Q26, kerugian teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATMI) AAGB menyusut dengan ketara kepada RM33.6 juta berbanding RM167 juta pada 2Q26, menjadikan kerugian teras LATMI bagi tempoh sembilan bulan sebanyak RM138 juta.

 

Peningkatan prestasi

Bagaimanapun, keputusan itu lebih rendah daripada jangkaan penganalisis, berbanding keuntungan teras RM244 juta pada 3Q25 susulan lonjakan harga bahan api jet yang dicetuskan perang Iran sejak awal 2026.

 

Peningkatan prestasi berbanding suku sebelumnya disokong kos bahan api efektif lebih rendah iaitu AS$152 setong berbanding AS$180 setong, selain hasil setiap penumpang yang lebih tinggi.

 

Segmen penerbangan AAGB di Malaysia turut kembali mencatatkan keuntungan pada suku berkenaan.

 

Menjelang 2027, AAGB sedang melaksanakan penyusunan semula operasi menerusi penggantungan laluan yang mencatatkan kerugian, pemulangan 25 pesawat pajakan lebih lama pada 2026 serta peralihan kepada penggunaan pesawat Airbus A321XLR dan A220 yang lebih menjimatkan bahan api.

 

Tekanan kewangan masih ketara

Bagaimanapun, HLIB berkata, tekanan terhadap kedudukan kewangan kumpulan masih ketara, khususnya berkaitan aliran tunai dan risiko diklasifikasikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17).

 

Ekuiti pemegang saham AAGB merosot kepada RM362 juta setakat September 2026 ketika pihak pengurusan masih berusaha memuktamadkan pakej pembiayaan hutang bernilai AS$1 bilion.

 

Susulan andaian kapasiti yang disemak lebih rendah, HLIB mengurangkan unjuran pendapatan AAGB bagi tahun kewangan berakhir Disember 2026 (FY26) kepada RM8.7 juta berbanding RM330.7 juta sebelum ini, iaitu hampir mencapai titik pulang modal.

 

Unjuran pendapatan FY27 turut dikurangkan kepada RM754 juta daripada RM1 bilion, manakala FY28 disemak kepada RM827.9 juta berbanding RM1 bilion sebelum ini.

 

Bagaimanapun, HLIB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham AAGB dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.68.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga saham semasa berada pada paras terlalu rendah, sedangkan kumpulan menunjukkan prestasi semakin baik dengan keupayaan memindahkan kenaikan kos bahan api jet kepada pengguna, disokong permintaan perjalanan udara serantau yang kukuh meskipun perang Iran masih berterusan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved