CapitaLand perlu RM600 juta ambil alih aset perindustrian capai sasaran 20% AUM - TA Research

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CapitaLand perlu RM600 juta ambil alih aset perindustrian capai sasaran 20% AUM - TA Research Image from: CapitaLand perlu RM600 juta ambil alih aset perindustrian capai sasaran 20% AUM - TA Research hamden11/09/2026 - 10:30 Gambaran artis kilang industri berkembar di Taman Industri i-TechValley di Johor. - Gambar/capitaland.com Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept – CapitaLand Malaysia Mall Trust (CLMT) dianggarkan memerlukan kira-kira RM600 juta lagi bagi pengambilalihan aset perindustrian dan logistik di Johor untuk mencapai sasaran menjadikan segmen berkenaan menyumbang sekitar 20% daripada jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) menjelang akhir 2028.

 

TA Research berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan asas aset semasa, dengan andaian tiada perubahan ketara terhadap portfolio CLMT yang lain.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selepas lima kemudahan di i-TechValley, Johor siap, aset perindustrian dan logistik dijangka menyumbang kira-kira 11.5% daripada AUM CLMT, sekali gus masih memberikan ruang yang besar untuk pengembangan portfolio tersebut dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Menurut firma itu lagi CLMT sedang giat mencari peluang pengambilalihan baharu di Johor dan Lembah Klang bagi mencapai sasaran berkenaan.

 

"Selain pengambilalihan secara langsung, pihak pengurusan turut meneroka urus niaga jual dan pajak balik dengan pemilik perniagaan, yang berpotensi meluaskan saluran pengambilalihan serta memberikan akses kepada aset yang telah mempunyai penyewa.

 

“Berdasarkan asas aset semasa, kami menganggarkan sasaran tersebut memerlukan kira-kira RM600 juta lagi dalam pengambilalihan aset perindustrian/logistik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dari sudut kapasiti pembiayaan, CLMT dilihat mempunyai ruang yang mencukupi untuk melaksanakan pengembangan tersebut tanpa keperluan segera mendapatkan pembiayaan ekuiti.

 

Dengan nisbah gearing sebanyak 38.5% pada akhir Jun 2026, CLMT masih berada dengan selesa di bawah had kawal selia sebanyak 50%.

 

Penganalisis menganggarkan CLMT mempunyai kapasiti pengambilalihan yang dibiayai hutang sekitar RM700 juta sebelum gearing mencapai 45%, sekali gus menyediakan ruang munasabah bagi pengambilalihan aset perindustrian selanjutnya.

 

Pengembangan di Johor

Strategi tersebut turut disokong oleh perkembangan portfolio CLMT di Johor, yang bermula dengan pengambilalihan tiga kemudahan di Nusajaya Tech Park pada Februari 2024, diikuti tiga lagi kemudahan di Senai Airport City pada Februari 2025.

 

Kedua-dua kelompok aset tersebut kini telah disewakan sepenuhnya. Lima lagi kemudahan di bawah pengaturan pembelian hadapan bersama AME Elite sedang dibangunkan di i-TechValley.

 

Setelah siap, portfolio CLMT di Johor akan berkembang kepada 11 aset dengan keluasan lantai bersih (NLA) kira-kira 781,000 kaki persegi dan nilai gabungan sekitar RM320 juta.

 

Penganalisis berkata prospek permintaan bagi aset perindustrian di Johor kekal positif, disokong limpahan aktiviti dari Singapura, kos operasi yang kompetitif serta hubungan rentas sempadan yang semakin baik.

 

Dari segi impak kewangan, lima kemudahan i-TechValley berpotensi meningkatkan pendapatan CLMT sekitar 1.5% pada tahun kewangan 2027 (FY27) dan kira-kira 3% pada FY28 berdasarkan kadar sewaan sekitar RM2.60 sekaki persegi.

 

Sumbangan itu dijangka meningkat secara berperingkat apabila aset berkenaan disiapkan antara Mac 2027 hingga Januari 2028.

 

Dalam pada itu, penilaian CLMT dikekalkan pada saranan BELI dengan harga sasaran (TP) RM0.81. Harga sasaran tersebut adalah berdasarkan hasil sasaran CY27 sebanyak 7% serta premium ESG sebanyak 3%.

 

Penganalisis berkata lawatan ke aset perindustrian CLMT di Johor mengukuhkan keyakinan terhadap strategi pengembangan segmen tersebut, khususnya selepas melihat kadar penghunian penuh di aset sedia ada serta perkembangan sewaan di Senai Airport City. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved