SP Setia masih perlu RM3.2 bilion jualan untuk capai sasaran FY2026 - TA Securities

20 Aug 2026 • 10:22 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SP Setia masih perlu RM3.2 bilion jualan untuk capai sasaran FY2026 - TA Securities Image from: SP Setia masih perlu RM3.2 bilion jualan untuk capai sasaran FY2026 - TA Securities liza20/08/2026 - 10:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Ogos – TA Securities kekal berhati-hati terhadap keupayaan SP Setia Berhad mencapai sasaran jualan RM4.6 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY2026) memandangkan kumpulan itu masih perlu menjana kira-kira RM3.2 bilion jualan dalam separuh kedua tahun ini. 

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi SP Setia bertambah baik pada separuh kedua tahun ini, disokong kemajuan pengebilan projek yang lebih tinggi, sumbangan daripada Setia Alaman serta potensi penyelesaian penjualan tanah Semenyih bernilai RM273.5 juta kepada Mah Sing menjelang akhir tahun. 

 

TA Securities berkata pemulihan itu bergantung kepada keupayaan kumpulan mempercepatkan penukaran jualan kepada hasil serta meningkatkan pengiktirafan projek apabila kemajuan pembinaan bertambah baik.

 

Pada masa sama, pengurusan SP Setia masih mengekalkan sasaran jualan RM4.6 bilion bagi FY2026 walaupun jumlah jualan 1HFY26 hanya RM1.42 bilion bersamaan kira-kira 31% daripada sasaran tahunan itu. 

 

Setakat 7 Ogos 2026, kumpulan telah melancarkan projek bernilai RM1.68 bilion, manakala projek bernilai RM2.75 bilion lagi dirancang untuk dilancarkan sepanjang baki tahun ini. 

 

Jualan Dan Projek Menjadi Tumpuan

Bagi 2QFY26, jualan SP Setia meningkat 55.7% berbanding suku sebelumnya kepada RM864 juta, terdiri daripada RM820 juta jualan hartanah dan RM44 juta jualan tanah.

 

Namun, jualan 1HFY26 susut 25% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM1.42 bilion susulan sumbangan jualan tanah yang lebih kecil.

 

Pembangunan domestik kekal sebagai penyumbang utama, merangkumi kira-kira 90% daripada jumlah jualan separuh pertama. 

 

Jualan belum dibilkan SP Setia berjumlah RM3.98 bilion pada akhir Jun 2026, meningkat 0.7% berbanding setahun lalu tetapi lebih rendah daripada RM4.22 bilion pada suku sebelumnya apabila kemajuan pengebilan mengatasi jualan baharu.

 

Daripada jumlah itu, RM2.97 bilion atau kira-kira 75% datang daripada projek di Malaysia manakala RM1 bilion lagi disumbangkan projek antarabangsa, terutamanya Australia. 

 

Di Vietnam, tempahan sekitar RM500 juta dijangka mula menyumbang selepas permit jualan diperoleh. Di Australia pula, projek St Leonards di Sydney dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM655 juta dan Carlton Land di Melbourne disasarkan untuk dilancarkan pada suku keempat FY2026 (4QFY26). 

 

ARTIKEL BERKAITAN: SP Setia catat jualan RM864 juta pada 2QFY26, pinjaman susut RM209 juta

 

Segmen Perindustrian Semakin Penting

TA Securities turut melihat segmen perindustrian semakin menjadi penyumbang penting kepada SP Setia, khususnya menerusi Setia Alaman yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM2.38 bilion.

 

Daripada jumlah itu, RM1.07 bilion telah dijual atau dilancarkan, manakala jualan belum dibilkan berjumlah RM397 juta pada akhir Jun 2026. Fasa pertama projek telah memperoleh hak milik, sementara hak milik bagi fasa kedua dijangka diperoleh pada 3Q hingga 4QFY26. 

 

Setia Fontaines di Pulau Pinang juga telah memulakan pembangunan taman perindustrian seluas 509 ekar manakala Setia EcoHill 2 diperluaskan kepada kegunaan industri meliputi kira-kira 30 ekar selepas mendapat kelulusan perubahan zon. 

 

“Kami menjangkakan sumbangan daripada segmen perindustrian akan menjadi antara pemacu kepada prestasi SP Setia pada separuh kedua, khususnya apabila kemajuan projek dan pengiktirafan hasil meningkat,” katanya.

 

Pelan REIT Terus Berjalan

Dalam masa sama, rancangan SP Setia menubuhkan amanah pelaburan hartanah (REIT) terus berjalan dengan proses penilaian terperinci terhadap aset yang dicadangkan hampir selesai.

 

Portfolio runcit dan pejabat yang dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam REIT itu bernilai kira-kira RM2.8 bilion, dengan penyenaraian disasarkan pada suku kedua 2027 (2Q2027). Kumpulan turut menilai beberapa peluang usaha sama di Bukit Beruntung, Shah Alam, Bandar Enstek, Kulai dan Kota Semarak bagi menambah semula projek pembangunan. 

 

Oleh kerana prestasi 1HFY26 yang lebih lemah daripada jangkaan, TA Securities mengurangkan unjuran keuntungan bagi FY2026 hingga FY2028 masing-masing sebanyak 21%, 17% dan 9%.

 

Unjuran jualan bagi tempoh sama turut dikurangkan kepada RM4.2 bilion, RM4.4 bilion dan RM4.5 bilion daripada RM4.6 bilion, RM4.7 bilion dan RM4.8 bilion sebelum ini, berikutan prestasi jualan 1HFY26 yang lebih rendah serta penjadualan semula pelancaran projek FY2026. 

 

Harga Sasaran Dikurangkan

Susulan semakan itu, TA Securities menurunkan harga sasaran SP Setia kepada RM1.15 daripada RM1.32, berdasarkan penilaian yang lebih rendah bagi mengambil kira risiko pelaksanaan ketika ini.

 

Walaupun begitu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap saham SP Setia kerana masih melihat potensi pemulihan prestasi pada separuh kedua tahun ini, disokong peningkatan kemajuan projek dan potensi sumbangan daripada beberapa faktor yang telah dikenal pasti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved