Pada awal Mei lalu saya berkesempatan menjejakkan kaki di Turkiye. Perjalanan ke Türkiye bukan bermula di Istanbul, seperti yang sering dilakukan oleh pengembara kali pertama, tetapi terus dari Kuala Lumpur ke Cappadocia.
Cappadocia menjadi destinasi pertama, dengan satu impian yang cukup jelas, mahu melihat sendiri langit kota itu dipenuhi dengan belon udara panas ketika matahari terbit.

Namun, sebaik sahaja tiba, alam seakan mempunyai rancangan yang berbeza. Hujan lebat menyambut kedatangan kami. Sepanjang tiga malam di Cappadocia, cuaca memang tidak menyebelahi. Jika tidak hujan, langit pula mendung dan matahari hanya muncul sesekali.
Jadi, impian untuk berdiri di tengah-tengah pekan Goreme sambil menyaksikan langit dipenuhi belon terpaksa diketepikan. Kita hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan.
Menariknya tentang sebuah perjalanan ialah, apabila satu rancangan tidak menjadi, selalunya akan ada pengalaman lain yang muncul sebagai gantinya.
Untuk trip kali ini, saya memilih untuk menginap di Airbnb kerana mahukan pengalaman menginap di rumah orang tempatan.

Untuk makluman, rumah-rumah di Cappadocia cukup unik kerana sebahagiannya diukir terus ke dalam batu, memanfaatkan formasi batu gunung berapi yang bukan sahaja memberikan karakter tersendiri, malah membantu mengekalkan suhu ruang dalaman secara semulajadi.
Rumah kami terletak di Uchisar, dah pemiliknya menamakan sebagai Simple House. Penginapan ini mempunyai dua bilik tidur dan dua bilik air. Lokasinya kira-kira empat kilometer dari Goreme dan hanya beberapa minit berjalan kaki dari Uchisar Castle.
Rooftop balkoni menjadi ruang yang paling digemari kerana dari situ saya dapat menikmati pemandangan landskap Cappadocia tanpa perlu pergi jauh. Pagi pertama di bumi Cappadocia, saya menyaksikan cahaya matahari perlahan-lahan menyinari formasi batu di hadapan mata.

Tiada belon menghiasi langit, tetapi pemandangan dari rooftop cukup menawan. Buat seketika jiwa terasa tenang, betapa magisnya ciptaan Tuhan. Terubat jua kekecewaan tidak dapat menaiki belon panas.
Menunggang Kuda, Bersiar-siar Dengan Kereta Klasik
Cuaca di Cappadocia pada waktu ini juga agak dingin, namun ini tidak bermakna saya tidak hanya terperuk di rumah. Tiada belon udara panas, masih banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan.
Salah satunya ialah menunggang kuda sambil menyaksikan matahari terbenam. Dengan harga kira-kira RM55 di Klook, aktiviti yang berlangsung selama satu jam ini memberikan perspektif yang berbeza terhadap Cappadocia.

Pada petang itu, saya dan beberapa pengembara lain dibawa menyusuri landskap berbatu dan kawasan lembah yang menawarkan pemandangan mempesona. Cahaya matahari yang semakin rendah menjadikan formasi batu kelihatan lebih dramatik.
Ia bukanlah pengalaman yang tergesa-gesa, tetapi lebih kepada menikmati suasana Cappadocia dengan santai. Sepanjang perjalanan, terdapat beberapa pit stop untuk bergambar atau merakam memori untuk dibawa pulang.
Sehari sebelum terbang ke destinasi seterusnya, saya dan teman tidak lepaskan peluang untuk mengikuti ‘Lawatan Kereta Klasik Saat Matahari Terbit’. Aktiviti ini juga kami beli di Klook. Lawatan selama dua jam ini juga adalah ‘plan B’ bagi menggantikan aktiviti belon udara panas.

Untuk lawatan kereta klasik ini kami perlu bangun seawal jam 4 pagi kerana perjalanan bermula sebelum mentarimembuka tirai pagi.
Bergerak dengan sebuah kereta klasik untuk menikmati suasana pagi Cappadocia, dinginnya bukan kepalang. Maklumlah kereta ini tidak berbumbung. Mujur masing-masing mengenakan pakaian yang sesuai.
Beberapa lokasi menjadi persinggahan untuk menikmati pemandangan dan bergambar. Peluang menaiki kereta klasik ini memberikan pengalaman yang cukup berharga dan kami gembira melakukannya.

Uchisar Castle turut sempat kami kunjungi. Cuma, kami tidak naik sehingga ke puncak kerana laluan dan tangganya memerlukan stamina yang kuat. Kawasan sekitarnya pun sudah cukup untuk menikmati pemandangan bandar dan formasi batu yang menjadi identiti Uchisar. - Getaran, 12 Ogos 2026





