Riyadh Air pilih Malaysia destinasi pertama Asia Tenggara

LocalTravel
1 Aug 2026 • 7:18 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Riyadh Air pilih Malaysia destinasi pertama Asia Tenggara

SEPANG: Riyadh Air menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk pertama syarikat penerbangan itu ke Asia Tenggara menerusi pelancaran laluan terus Riyadh-Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuh ketersambungan udara antara Arab Saudi dan rantau ini.

Ketua Pegawai Komersial Riyadh Air, Vincent Coste berkata, Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi pertama di Asia Tenggara kerana laluan berkenaan mempunyai potensi besar dengan permintaan perjalanan yang kukuh dari kedua-dua arah.

Menurutnya, Malaysia merupakan destinasi pelancongan popular dalam kalangan rakyat Arab Saudi, manakala Arab Saudi pula menerima permintaan tinggi daripada rakyat Malaysia bagi tujuan ibadah, urusan perniagaan dan pelancongan.

“Kuala Lumpur ialah destinasi pertama kami di Asia Tenggara kerana laluan ini mempunyai trafik yang kukuh dari kedua-dua arah. Kami melihat potensi yang sangat besar untuk terus berkembang di pasaran ini,” katanya pada Majlis Sambutan Ketibaan Penerbangan Sulung Riyadh Air di sini, semalam.

Pesawat Boeing 787-9 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid (RUH) pada 10.50 malam sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.10 tengah hari.

Beliau berkata, pada peringkat awal, laluan Kuala Lumpur-Riyadh akan didominasi penumpang yang melakukan perjalanan terus antara kedua-dua bandar raya berkenaan.

Katanya, trafik sambungan ke Jeddah, khususnya membabitkan jemaah umrah, dijangka berkembang dengan pantas, sebelum lebih ramai penumpang menggunakan Riyadh sebagai hab transit ke destinasi lain.

“Mulai tahun depan dan seterusnya, kami menjangkakan lebih ramai penumpang menggunakan Riyadh sebagai hab transit ke Eropah, Afrika dan destinasi lain apabila rangkaian kami terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata, Riyadh Air yang memulakan operasi komersial pada Jun lalu kini mengendalikan penerbangan ke beberapa destinasi termasuk Jeddah, Dubai dan Kaherah.

Tambahnya, syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk mengembangkan rangkaiannya kepada 100 destinasi di seluruh dunia menjelang 2030, sekali gus mengukuhkan kedudukan Riyadh sebagai hab penerbangan utama di rantau Asia Barat.

Sementara itu, beliau berkata, Riyadh Air turut melihat peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan bagi memperluaskan rangkaian sambungan penumpang di rantau Asia Tenggara.

Katanya, syarikat itu telah menjalinkan beberapa kerjasama dengan syarikat penerbangan di seluruh dunia dan melihat Malaysia Airlines sebagai antara syarikat penerbangan yang berpotensi untuk bekerjasama pada masa akan datang.

Terdahulu, Riyadh Air menyediakan tiga kali penerbangan seminggu bagi laluan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid (RUH) dan sebaliknya. –UTUSAN

The post Riyadh Air pilih Malaysia destinasi pertama Asia Tenggara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved