Carimin cadang tambah pegangan dalam Sealink kepada 32.99% menerusi pembelian saham RM14.6 juta

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Carimin cadang tambah pegangan dalam Sealink kepada 32.99% menerusi pembelian saham RM14.6 juta Image from: Carimin cadang tambah pegangan dalam Sealink kepada 32.99% menerusi pembelian saham RM14.6 juta sarah25/11/2026 - 18:10 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Carimin Petroleum Berhad (Carimin) bercadang meningkatkan pegangan ekuitinya dalam Sealink International Berhad (Sealink) daripada 25.32% kepada maksimum 32.99% menerusi pembelian saham bernilai sehingga RM14.60 juta, selepas cadangan penswastaan syarikat itu tidak diteruskan.

 

Carimin dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, cadangan itu melibatkan pembelian sehingga 38,409,999 saham biasa Sealink, mewakili kira-kira 7.68% kepentingan ekuiti, pada harga maksimum 38 sen sesaham menerusi pasaran terbuka atau daripada pemegang saham Sealink.

 

Pembelian itu akan menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan Carimin dalam Sealink mencecah RM64.46 juta, dengan harga purata pemerolehan sebanyak 39 sen sesaham.

 

Carimin menegaskan bahawa pegangannya dalam Sealink akan kekal di bawah paras 33% bagi mengelakkan kewajipan melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori, sekali gus membolehkannya memaksimumkan penyertaan ekuiti dan pengaruh terhadap hala tuju strategik Sealink.

 

Cadangan penswastaan sebelum ini tidak diteruskan

Pada 12 Mei 2026, Carimin mengemukakan cadangan rasmi untuk mengambil alih keseluruhan baki kepentingan ekuiti dalam Sealink, namun lembaga pengarah Sealink pada 30 Jun 2026 memutuskan untuk tidak membentangkan cadangan tersebut kepada pemegang sahamnya.

 

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pendirian seorang pemegang saham utama yang menyatakan akan mengundi menentang cadangan penswastaan berkenaan, selain nasihat penasihat bebas Sealink yang turut mengambil kira penilaian indikatif kapal dan hartanah syarikat.

 

Carimin kemudiannya meningkatkan pegangannya dalam Sealink menerusi pembelian 29.09 juta saham atau 5.82% kepentingan ekuiti pada September 2026 dengan nilai RM9,890,600 pada harga 34 sen sesaham.

 

Perkukuh kedudukan dalam industri minyak dan gas

Lembaga pengarah Carimin berpandangan pelaburan dalam Sealink kekal strategik kerana membolehkan kumpulan meningkatkan bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu itu, selain memperluas peluang kerjasama dalam perkhidmatan penyelenggaraan dan operasi kapal.

 

Peningkatan pegangan itu juga dijangka memperkukuh kedudukan Carimin dalam pasaran serta meningkatkan keupayaannya bersaing bagi mendapatkan kontrak bernilai lebih besar dan berjangka panjang.

 

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026, Sealink mencatatkan keuntungan bersih RM31.70 juta, termasuk pengiktirafan baki tuntutan insurans kira-kira RM17 juta, berbanding kerugian bersih RM6.97 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil menyusut 12.75% kepada RM117.52 juta.

 

Pembelian dibiayai sepenuhnya menerusi dana dalaman

Cadangan pembelian saham itu dijangka dibiayai sepenuhnya menerusi dana dalaman, dengan Carimin mempunyai tunai dan kesetaraan tunai sebanyak RM57.81 juta setakat 30 September 2026, manakala nisbah penggearan kumpulan dijangka kekal pada 0.12 kali.

 

Tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Carimin pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan serta kelulusan lain yang berkaitan, cadangan pemerolehan itu dijangka selesai pada suku kedua 2027, dengan Sealink kekal sebagai syarikat bersekutu Carimin. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved