Pada awal minggu ini, kami telah melaporkan bahawa sebuah syarikat China telah mula menghasilkan kelengkapan Deep Ultraviolet Litography (DUV) pertama di negara tersebut yang akan diuji oleh syarikat-syarikat pengeluar komponen semikonduktor domestik seperti SMIC, Hua Hong, dan CXMT pada tahun ini.
Terkini, pihak Reuters telah mendedahkan nama syarikat tersebut, dan ia adalah Shanghai Aishengna Electronics Technology Group, sebuah syarikat teknologi yang dibangunkan pada tahun 2023 dengan pelaburan sebanyak RMB 7 bilion (~RM4 bilion). Syarikat ini juga dilaporkan telah menyerap masuk kumpulan-kumpulan jurutera daripada syarikat-syarikat lain seperti Shanghai Yuliangsheng dan Shanghai Micro Electronics Equipment yang merupakan syarikat teknologi pemula yang juga telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat semikonduktor China.

Seperti yang dilaporkan juga, sebanyak 5 mesin disasarkan akan dikeluarkan dengan pengeluaran kemudiannya meningkat ke lebih 20 mesin pada tahun 2027. Mesin-mesin litografi DUV ini akan diuji oleh syarikat-syarikat ini terlebih dahulu sebelum pengeluarannya ditambah, dan proses pembangunan proses-proses pengeluaran yang lebih maju dibangunkan.
Ini bermakna bahawa kelak syarikat-syarikat pembuat cip semikonduktor yang memerlukan kelengkapan DUV boleh mendapatkannya dari syarikat selain daripada ASML yang kini menjual kelengkapan tersebut pada harga yang sangat mahal, kerana mereka satu-satunya syarikat yang boleh menawarkan kelengkapan tersebut.
Jangkaan syarikat tersebut ialah untuk memasuki arena EUV juga di masa hadapan, dan mahu menghasilkan pengimbas litografi 7nm pertama mereka pada tahun 2038 kelak.
Sumber: Reuters




