liza29/09/2026 - 18:02 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Sept – Gamuda Berhad mencatat keuntungan bersih RM1.05 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 (FY2026), meningkat 5% berbanding RM1 bilion setahun sebelumnya didorong prestasi kukuh segmen pembinaan khususnya projek domestik.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata hasil kumpulan turut meningkat 14% kepada RM18.61 bilion daripada RM16.37 bilion, manakala baki tempahan pembinaan mencecah rekod RM61 bilion.
“Pertumbuhan hasil dan keuntungan itu disokong projek pembinaan domestik serta projek hartanah pusingan pantas (Quick Turnaround Projects - QTP) di Vietnam.
“Bagi suku keempat tahun kewangan 2026 (Q4FY26), keuntungan bersih meningkat 5% kepada RM349.7 juta daripada RM332.1 juta, manakala hasil naik 19% kepada RM5.83 bilion berbanding RM4.92 bilion sebelumnya,” kata Gamuda.
Segmen pembinaan mencatat hasil RM14.87 bilion bagi FY2026, meningkat 19%, dengan keuntungan bersih naik 19% kepada RM741.6 juta. Prestasi itu terutama disumbangkan pembinaan di Malaysia yang merekodkan pertumbuhan keuntungan 49% kepada RM461.3 juta.
Sebaliknya, segmen hartanah mencatat prestasi lebih rendah dengan jualan turun 22% kepada RM3.2 bilion, hasil susut 2% kepada RM3.74 bilion dan keuntungan bersih merosot 18% kepada RM310.8 juta.
Gamuda berkata penurunan itu disebabkan permintaan lebih perlahan dalam pasaran domestik, selain beberapa projek QTP baharu dan pembangunan Hanoi Parcel A masih menunggu pelancaran serta kelulusan pihak berkuasa.
Pembinaan, pusat data jadi pemacu FY2027
Bagi tahun kewangan seterusnya, Gamuda menjangka prestasi keuntungan terus disokong projek pembinaan domestik, termasuk pembangunan pusat data berskala besar di samping pengiktirafan keuntungan lebih tinggi daripada projek QTP di Vietnam dan Singapura.
Kumpulan berkata keterlihatan pendapatan turut disokong baki tempahan pembinaan sebanyak RM61 bilion serta jualan hartanah yang telah ditempah tetapi belum diiktiraf sebagai hasil bernilai RM7.6 bilion.
Gamuda turut merancang memperkukuh portfolio QTP menerusi pemerolehan beberapa bidang tanah di Vietnam dan Singapura. Langkah itu menyebabkan nisbah hutang bersih kepada ekuiti (net gearing) meningkat kepada 72% pada akhir Julai 2026 berbanding 53% setahun sebelumnya, melebihi had dalaman 70%.
Namun, kumpulan menjangka nisbah hutang itu menurun mulai tahun depan apabila tempahan pembinaan dan jualan hartanah mula menjana hasil serta aliran tunai. Gamuda menjana hampir RM800 juta lebihan tunai daripada aktiviti operasi sepanjang FY2026.
Di Vietnam, Gamuda Land akan melancarkan pembangunan Central Park di Gamuda City, Hanoi menjelang akhir 2026, selepas melancarkan Ambience di Hai Phong pada Mei lalu. Kedua-dua projek itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM3 bilion dan dijangka menyumbang kepada keuntungan mulai FY2027.
Pengembangan hartanah dan tenaga baharu
Gamuda juga memperoleh empat tapak pembangunan baharu di Ho Chi Minh City dan Hai Phong dengan anggaran GDV gabungan sekitar RM4 bilion. Sementara itu, Elysian disasarkan siap pada suku kedua 2027 dan Eaton Park dijangka disiapkan secara berperingkat mulai suku ketiga 2027.
Di Singapura, pembangunan Chencharu Close dengan anggaran GDV RM6.6 bilion disasarkan dilancarkan pada suku pertama 2027. Projek itu akan menawarkan sehingga 875 unit kediaman, kira-kira 12,600 meter persegi ruang komersial serta kemudahan komuniti termasuk pusat penjaja dan hab pertukaran bas.
Dalam perniagaan pusat data, projek Eco Business Park V bernilai RM2.138 bilion disasarkan siap pada suku ketiga 2027, manakala pusat data pertama di Port Dickson bernilai RM1.72 bilion disasarkan siap pada suku pertama 2028. Gamuda turut berkata rundingan dengan pelanggan syarikat multinasional bagi projek pusat data tambahan masih berjalan.
“Selain itu, konsortium yang melibatkan Gamuda Energy menandatangani terma perjanjian bagi kontrak bekalan tenaga boleh baharu selama 21 tahun untuk membangunkan loji solar sekurang-kurangnya 680MWac bersama sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) empat jam di Perak. Perjanjian akhir disasarkan dimuktamadkan pada suku pertama 2027, dengan operasi komersial disasarkan pada 2029.
“Projek itu dianggarkan menjana hasil kasar melebihi RM10 bilion sepanjang tempoh bekalan 21 tahun dan Gamuda terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek, pengurusan modal secara berhemah untuk terus memperluaskan operasi serantau secara berperingkat,” katanya. - DagangNews.com





