Carrick persoal gol Haaland

FootballSports
14 Sep 2026 • 8:23 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Carrick persoal gol Haaland
Carrick mempertikai keputusan pengadil yang membenarkan jaringan Haaland ketika United tewas 0-1 kepada City di Old Trafford. Foto: AFP

PENGURUS Manchester United, Michael Carrick menganggap keputusan pengadil membenarkan gol kemenangan Erling Haaland dalam derbi Manchester sebagai sesuatu yang membimbangkan.

United tewas 0-1 kepada Manchester City di Old Trafford selepas Haaland meledak gol tunggal perlawanan ketika skuad kendalian Pep Guardiola itu beraksi dengan 10 pemain.

Gol berkenaan pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun keputusan itu berubah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mengambil masa agak lama.

Enzo Fernandez berada dalam kedudukan ofsaid ketika cuba menanduk bola sebelum ia sampai kepada Haaland, namun pemain Argentina itu tidak dianggap mengganggu permainan.

Carrick bagaimanapun sukar menerima penjelasan berkenaan dan mempersoalkan bagaimana situasi itu dinilai oleh barisan pengadil.

"Ia merisaukan jika begini keadaannya, jika begitulah cara permainan ini dilihat oleh mereka yang mengadilinya.

"Saya benar-benar tidak faham, saya tidak boleh faham fikiran mereka," katanya.

Lisandro Martinez yang menjadi antara pertahanan United dalam situasi itu turut berpendapat kehadiran Fernandez memberi kesan kepadanya ketika cuba mengawal gerakan tersebut.

"Saya pergi ke arahnya kerana dia berada di hadapan saya. Sebab itulah Haaland bebas di belakang," katanya.

Pemain Argentina itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu ketidakadilan, selain menyelar kesilapan yang berlaku dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Lima atau enam orang (pengadil) melakukan kesilapan sebegini dalam kancah EPL adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Kami pulang ke rumah membawa ketidakadilan ini," ujar Martinez.

Kekalahan itu menyaksikan United hanya mengumpul empat mata daripada empat perlawanan pembukaan liga dan kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Arsenal serta City.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved