CCTV pelbagai sudut diteliti siasat nahas maut lori JIM – KP KL

19 Aug 2026 • 4:17 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: CCTV pelbagai sudut diteliti siasat nahas maut lori JIM – KP KL

KUALA LUMPUR – Polis sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari pelbagai sudut bagi merungkai kejadian kemalangan maut membabitkan lori Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya sudah memperoleh rakaman CCTV dan sedang mendapatkan rakaman tambahan bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Kita juga sedang mendapatkan CCTV dari setiap sudut kerana di Kuala Lumpur kita dilengkapi dengan CCTV yang mencukupi dan saya rasa ia memadai untuk mendapatkan gambaran mengenai keadaan kejadian itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurutnya, semakan awal rakaman mendapati keluarga yang terlibat berada di lokasi yang selamat untuk melintas jalan sebelum dirempuh lori terbabit.

“Berdasarkan siasatan dan pengamatan rakaman CCTV semasa kejadian, kedudukan keluarga itu berada adalah di kawasan selamat untuk melintas jalan namun mereka dirempuh lori JIM,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fadil berkata, polis telah mendapatkan perintah reman terhadap pemandu lori JIM dan pemandu sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas dilanggar sebuah lori JIM dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, lori Isuzu Black Maria milik JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah Proton Saga sebelum terbabas dan merempuh empat pejalan kaki serta sebuah kereta lain.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun tanpa membawa penumpang ketika kejadian.

Mohd. Zamzuri berkata, tiga daripada empat pejalan kaki meninggal dunia di lokasi kejadian, iaitu seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 tahun dan 12 tahun.

Seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 55 tahun yang juga isteri kepada mangsa lelaki dan ibu kepada dua mangsa perempuan mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

The post CCTV pelbagai sudut diteliti siasat nahas maut lori JIM – KP KL appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved