Murid SK Air Hitam, Labu Antara 3 Maut Dirempuh Lori Imigresen 

19 Aug 2026 • 3:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Murid SK Air Hitam, Labu Antara 3 Maut Dirempuh Lori Imigresen 

KUALA LUMPUR - Seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Air Hitam Labu, Siti Darwisyah Auni Shaik Mohd. Firdaus, merupakan antara tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Siti Darwisyah Auni, 12, maut bersama bapanya, 53, serta kakaknya, 25.

Berita duka itu dikongsikan pihak SK Air Hitam Labu menerusi satu hantaran takziah di Facebook hari ini.

“Dengan penuh dukacita, kami ingin memaklumkan bahawa salah seorang murid kami, Siti Darwisyah Auni Shaik Mohd. Firdaus, bersama kakak dan bapanya telah kembali ke rahmatullah.

“Warga guru dan murid SK Air Hitam Labu merakamkan ucapan takziah yang tidak terhingga kepada seluruh keluarga mangsa,” menurut hantaran berkenaan.

Pihak sekolah turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa dan kesalahan ketiga-tiga mangsa serta menempatkan roh mereka dalam kalangan orang beriman.

Pada masa sama, warga sekolah mendoakan agar keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan berat berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan tiga beranak, masing-masing seorang lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya berusia 25 serta 12 tahun, maut selepas dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, kira-kira jam 1 pagi.

Siasatan awal polis mendapati lori milik Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu terlebih dahulu terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah Proton Saga sebelum hilang kawalan.

Lori berkenaan kemudiannya merempuh empat pejalan kaki yang terdiri daripada satu keluarga, selain melanggar sebuah kereta Inokom Matrix.

Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 55 tahun yang merupakan isteri kepada mangsa lelaki namun mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kakinya.

Mangsa kemudian dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Getaran, 19 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved