Polis siasat pelbagai aspek termasuk tekanan berhubung kematian guru di Hulu Selangor

19 Aug 2026 • 5:28 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Polis siasat pelbagai aspek termasuk tekanan berhubung kematian guru di Hulu Selangor

Polis Selangor sedang menyiasat pelbagai aspek termasuk tekanan berhubung kes kematian seorang guru wanita di sebuah sekolah di Hulu Selangor.

SHAH ALAM: Polis masih menyiasat kes kematian seorang guru wanita yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Hulu Selangor hujung bulan lepas. 

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan antara lain melihat kepada pelbagai aspek termasuk tekanan dalam kes itu yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). 

“Rakaman percakapan telah diambil melibatkan pelbagai individu, termasuk rakan sekerja si mati sebab kita nak tahu apa punca. Sebagaimana yang saya katakan kes belum selesai, dan masih ramai yang perlu dipanggil untuk kita dapatkan pengesahan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di sini hari ini. 

Sebelum ini, media melaporkan seorang guru wanita ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Hulu Selangor 31 Julai lepas sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden M. Manimaran dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian MERS 999 kira-kira 7.15 pagi.

Dalam pada itu, Shazeli berkata pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan sebuah bengkel melerai dan menjual komponen kenderaan, yang sebelum ini dikaitkan dengan sindiket didalangi warga asing di Kampung Bukit Kapar, Klang yang terbakar bagi menutup bukti. 

“Buat masa ini untuk kata sindiket saya tidak berapa yakin sebab hanya dua orang sahaja warga asing yang ditahan, iaitu pemilik dan pekerja. 

“Namun, kita juga tidak boleh menafikan kemungkinan wujud sindiket. Premis itu mungkin hanya dijadikan tempat untuk meleraikan kenderaan terbabit. Kita juga sedang siasat pemilik tanah, kenapa boleh sewakan kepada warga asing,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 20-an bagi membantu siasatan kes penemuan sebuah van jenazah dipercayai dicuri di sebuah bengkel kenderaan terpakai di Bukit Kapar, kira-kira  7.20 malam, 7 Ogos lepas.

Pada 4.30 petang, 12 Ogos lepas, sebanyak 20 warga asing merangkumi 19 lelaki dan seorang wanita ditahan Jabatan Imigresen di Jalan Kapar. 

Serbuan itu membongkar sindiket melerai dan menjual kenderaan curi termasuk melibatkan kes kehilangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik sebuah syarikat pengurusan jenazah.

Lebih mengejutkan, penahanan warga Indonesia dalam serbuan itu turut membongkar keterlibatan sindiket ini dalam pengurusan penyediaan ‘rumah penampungan’ bagi pendatang tanpa izin yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal. 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved