SEREMBAN- Seorang wanita dipercayai berulang kali membuang najis di hadapan sebuah kedai di sini sehingga mencetuskan keadaan kurang senang peniaga.
Kejadian tersebut tular selepas video perbuatan wanita berkenaan dikongsikan di media sosial sejak Sabtu.
Menurut perkongsian di Facebook NegeriSembilanKini, kejadian berkenaan sudah berlaku berulang kali sehingga peniaga di situ terpaksa membersihkan najis hampir setiap minggu.
"Assalamualaikum admin, mohon bantuan post. Kejadian berlaku di Taman Dusun Setia, Seremban, seorang wanita dipercayai warga emas telah kerap kali membuang air besar di hadapan kedai kami berniaga di kawasan ini.
"Disebabkan terlalu kerap berlaku, pihak kedai akhirnya memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan kali ini individu terbabit berjaya dirakam sekitar jam 6 pagi," katanya.
Ujarnya, tujuan perkongsian berkenaan bukan untuk membuka aib sesiapa sebaliknya berharap waris atau individu berkenaan dapat tampil menegur dan memantau.
"Kami tak dapat lagi berpeluang berjumpa dan bukanlah nak malukan. Kami hanya mencari rezeki berniaga disini, kalau perkara macam ini berulang kali berlaku memang sukar untuk bertahan sabar.
"Bak kata dialog legenda Bujang Lapok lakonan P. Ramlee, 'pasal taik pun boleh gaduh', ini lah dia tapi kalau dah sampai berkali-kali jadi depan kedai orang, memang boleh buat orang hilang sabar.
"Harap perkara ini dapat diselesaikan secara baik dan tidak berulang lagi," katanya yang turut memaklumkan ia merupakan perkongsian pembaca #NegeriSembilanKiNi.
