
KUALA LUMPUR – Kerajaan melarang campur tangan ahli politik dalam menentukan projek dan keutamaan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi memastikan dana berkenaan diurus secara profesional dan bertanggungjawab.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan pelaburan perlu ditentukan oleh badan yang dianggotai golongan profesional serta pakar dalam bidang berkaitan, bukannya dipengaruhi kepentingan politik.
“Kita melarang sama sekali campur tangan mana-mana tokoh politik dalam menentukan projek dan keutamaan pelaburan. Penentuan projek mesti dibuat oleh badan pelaburan yang dianggotai golongan profesional dengan kepakaran tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Syed Saddiq meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan mempercepat pelaksanaan komitmen pelaburan langsung domestik GLIC berjumlah RM120 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2028, selain memastikan dana itu tidak digunakan untuk menyelamatkan syarikat tertentu.
Beliau turut membangkitkan risiko penggunaan dana rakyat bagi menyelamatkan syarikat besar, dengan merujuk pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Sapura Energy.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan pelaburan GLIC bagi mencapai sasaran berkenaan masih mengikut jadual, dengan sebahagian pelaburan dijangka direalisasikan menjelang akhir tahun ini dan tahun hadapan.
Menurut beliau, tahun pertama pelaksanaan memberi tumpuan kepada perancangan, kajian dan penelitian sebelum keputusan pelaburan dibuat berdasarkan pengalaman lalu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan prinsip tadbir urus perlu diperkukuh, khususnya dalam institusi yang membawa mandat menjaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam.
Katanya, status sesebuah institusi yang mewakili kepentingan Bumiputera atau umat Islam tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan prinsip tadbir urus yang baik.
Sehubungan itu, beliau bersetuju supaya peraturan diperketat menerusi cadangan undang-undang entiti milik kerajaan bagi memperkukuh akauntabiliti serta memastikan pengurusan dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab demi melindungi kepentingan rakyat. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar larang ahli politik campur tangan pelaburan GLIC appeared first on Kosmo Online.






