SABDA perkukuh peranan Sabak Bernam sebagai pengeluar makanan negara

LocalFood
27 Oct 2026 • 1:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

PETALING JAYA: Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) terus memperkukuh peranan Sabak Bernam sebagai antara daerah pengeluar makanan utama negara menerusi pembangunan pertanian pintar, industri perikanan dan akuakultur bagi menjamin sekuriti makanan negara.

SABDA berkata, pembangunan pertanian di Sabak Bernam memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran hasil pertanian termasuk padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan akuakultur, selain memperkukuh rantaian bekalan makanan menerusi pelaburan infrastruktur serta teknologi pertanian.

“Konsep pertanian pintar di Sekinchan menjadi rujukan dalam pengeluaran padi manakala strategi SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dibangunkan di kawasan itu dijangka diperluas lebih 150,000 hektar di seluruh negara menjelang 2030.

“Inisiatif itu bertujuan meningkatkan tahap sara diri negara dalam pengeluaran beras dan mengurangkan kebergantungan terhadap import,” katanya dalam kenyataan.

Dalam sektor perikanan, pembangunan Pelabuhan Pendaratan Bersepadu Sekinchan seluas 415 ekar dan Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) seluas 600 ekar dijangka meningkatkan pendaratan hasil perikanan laut di daerah itu lebih 42 peratus.

Katanya, pembangunan berkenaan merangkumi kemudahan jeti berpusat, penyimpanan sejuk, dewan lelongan ikan dan pemprosesan hasil perikanan bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta nilai tambah produk.

SABDA turut memberi penekanan kepada usaha membantu pengusaha sektor pertanian dan perikanan menghadapi peningkatan kos operasi serta kesan perubahan iklim.

“Lebih 14,000 petani, pengusaha tanaman, nelayan, penternak dan pengusaha akuakultur di Selangor menerima manfaat bantuan tunai, sokongan baja dan subsidi bahan api menerusi Pakej Peningkatan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta,” katanya.

Sementara itu, di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2), beberapa daripada lapan projek utama memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor makanan melalui penambahbaikan infrastruktur, pemuliharaan biodiversiti, kemudahan nelayan dan peningkatan kapasiti akuakultur.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sabak Bernam mempunyai kira-kira 48,216 hektar tanah pertanian yang menyokong pengeluaran pelbagai hasil termasuk padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan hasil perikanan.

“Daerah itu merekodkan sumbangan RM918 juta kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sektor pertanian pada 2020, dengan pisang, kelapa dan cili merah antara tanaman utamanya.

“Berdasarkan Banci Pertanian 2024, Sabak Bernam turut merekodkan kira-kira 27,000 hektar tanah yang diusahakan serta nilai jualan hasil pertanian sebanyak RM244.23 juta mengikut skop bancian berkenaan,” katanya.

Selain pengeluaran makanan, SABDA turut memajukan agropelancongan bagi merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Usaha itu dijangka memperkukuh ekonomi tempatan serta meningkatkan daya tahan sektor pertanian dan perikanan Sabak Bernam. – UTUSAN

The post SABDA perkukuh peranan Sabak Bernam sebagai pengeluar makanan negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved