CEKD teroka industri percetakan, ambil alih Shin Fuji berharga RM3 juta

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2025 • 10:52 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CEKD teroka industri percetakan, ambil alih Shin Fuji berharga RM3 juta

image is not available

14/08/2025 - 10:52

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos – CEKD Bhd, penyedia rumusan pemotongan acuan mengorak langkah strategik ke dalam industri percetakan label dengan mengambil alih Shin Fuji Labels Sdn Bhd melalui urus niaga tunai berharga RM3 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CEKD berkata, pihaknya telah menandatangani perjanjian jual beli saham bersyarat dengan pemegang saham utama Shin Fuji iaitu Yap Sing (80.7%) dan Yap Teng Wui (19.3%) bagi memperoleh keseluruhan kepentingan ekuiti syarikat itu.

Shin Fuji, yang diperbadankan pada Jun 2006, terlibat dalam percetakan dan perdagangan bahan percetakan, beroperasi di Shah Alam dengan 28 kakitangan.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24), keuntungan selepas cukai (PAT) Shin Fuji meningkat 15.5% kepada RM827,000 berbanding RM716,000 pada tahun sebelumnya, meskipun hasil merosot 19.9% kepada RM5.6 juta daripada RM7 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Jan 2025, syarikat itu merekodkan PAT RM11.69 juta .

CEKD berkata, melalui pengambilalihan ini, kumpulan menjangkakan dapat menembusi segmen pelanggan baharu dan peluang pertumbuhan yang lebih besar.

“Harga pengambilalihan dipersetujui hasil rundingan antara pihak pembeli dan penjual, dengan mengambil kira jumlah aset bersih tidak diaudit Shin Fuji berjumlah RM2.36 juta setakat akhir Januari 2025, tidak termasuk nilai hartanah pelaburan dan sebuah kenderaan.

“Pengambilalihan dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini dan dibiayai melalui dana dalaman,” katanya.

Namun CEKD tidak menolak kemungkinan menggabungkan dana dalaman dengan pinjaman bank untuk mengoptimumkan kos pembiayaan.

Sehingga akhir Mei, CEKD memiliki tunai dan baki bank berjumlah RM7.38 juta dengan jumlah pinjaman RM1.64 juta. - DagangNews.com

standard