Meta Bright ambil alih empat projek utama pengecasan EV, perluas pasaran di Malaysia

LocalTechnology
22 Jul 2025 • 10:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Meta Bright ambil alih empat projek utama pengecasan EV, perluas pasaran di Malaysia

image is not available

22/07/2025 - 10:33

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai – Meta Bright Group Bhd (Meta Bright) mengumumkan langkah strategiknya untuk mempercepatkan penyertaan dalam sektor pengecasan kenderaan elektrik (EV) menerusi pengambilalihan penuh hak operasi dan hasil bagi empat projek stesen pengecasan utama.

Langkah itu dilaksanakan menerusi Meta Bright ChargeSini Sdn Bhd (MBC), anak syarikat milik 51 peratus, yang telah menandatangani perjanjian novasi dengan ChargeHere EV Solution Sdn Bhd (ChargeHere).

Melalui perjanjian tersebut, MBC mengambil alih hak kawalan operasi dan pendapatan bagi stesen pengecas EV di beberapa hartanah strategik untuk mempercepatkan pelaksanaan pelan pengembangan syarikat selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

ChargeHere yang beroperasi di bawah jenama “ChargeSini” merupakan antara pengendali titik pengecasan (CPO) terbesar di Malaysia dengan 935 titik pengecas EV di seluruh negara.

Dengan pengambilalihan ini, MBC akan mengurus sepenuhnya operasi termasuk penyelenggaraan dan kutipan hasil, menjadikan ia sumber pendapatan berulang baharu kepada kumpulan menerusi model perkongsian keuntungan dan perkhidmatan.

Langkah ini juga merupakan kesinambungan kepada usaha sama yang dimeterai antara Meta Bright dan ChargeHere pada Julai lalu, dan membuka laluan untuk pengembangan projek serupa di lokasi lain seluruh negara.

Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, perjanjian novasi itu membolehkan kumpulan menjimatkan masa dan sumber untuk memasuki pasaran EV yang semakin kompetitif.

“Daripada membangunkan projek dari awal, melalui novasi ini dengan ChargeHere, kami terus memperoleh aset pengecas EV di lokasi strategik yang berprofil tinggi.

“Ia memperkukuh komitmen kami terhadap pengembangan portfolio tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan pendapatan berulang dan meletakkan Meta Bright sebagai pemain aktif dalam peralihan mobiliti hijau negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, syarikat kini dalam peringkat rundingan untuk ke fasa seterusnya dalam mendapatkan lokasi pengecas EV di kawasan strategik bagi memperkukuh kedudukan dalam pasaran.

Meta Bright yang turut terlibat dalam pelbagai sektor termasuk hospitaliti, pembangunan hartanah, pembiayaan dan bahan binaan, terus memperkukuh kedudukan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dengan fokus kepada inovasi dan pertumbuhan mampan. - DagangNews.com

standard