CTRM ambil alih Spirit AeroSystems Malaysia berharga AS$95.2 juta

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2025 • 9:56 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CTRM ambil alih Spirit AeroSystems Malaysia berharga AS$95.2 juta

image is not available

11/08/2025 - 09:56

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad, menandatangani perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Spirit AeroSystems, Inc. dan Spirit AeroSystems International Holdings, Inc. bagi mengambil alih Spirit AeroSystems Malaysia Sdn Bhd (Spirit MY) dengan nilai pasaran berjumlah AS$95.2 juta.

Pengambilalihan strategik itu dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan CTRM sebagai pembekal utama struktur aero (aerostructures) global dan memperluaskan penglibatan syarikat dalam program pesawat komersial utama Airbus dan Boeing.

Spirit MY, yang berpangkalan di Subang, Selangor, membekalkan komponen utama dan pemasangan untuk pesawat Airbus A220, A320/A321, A350, serta Boeing 737 dan 787.

Syarikat itu turut menawarkan kepakaran pemasangan komposit dan logam, perkhidmatan kejuruteraan, pengurusan rantaian bekalan dan perkhidmatan bersama.

CTRM dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu akan meningkatkan skala operasi, kecekapan dan peluang pertumbuhan syarikat, di samping memperkukuh hubungan dengan pengeluar peralatan asli (OEM) global seperti Airbus dan Boeing.

“Pengambilalihan ini akan meletakkan CTRM dalam kedudukan lebih kukuh untuk bersaing dalam pasaran aeroangkasa yang semakin mencabar.

“Ia juga menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia 2030,” kata CTRM.

CTRM kini diiktiraf sebagai pembekal komposit aeroangkasa terkemuka, membangunkan dan mengeluarkan komponen pesawat untuk aplikasi aeroangkasa dan bukan aeroangkasa, serta menyediakan perkhidmatan sokongan seperti makmal ujian, kejuruteraan komposit dan pengurusan pembekal.

Transaksi ini masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan dijangka selesai selepas semua syarat dipenuhi. - DagangNews.com

standard