amree02/11/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov — CelcomDigi Berhad memeterai perkongsian strategik selama 15 tahun dengan Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KTPC) bagi menyediakan rangkaian gentian optik di zon perindustrian baharu, Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah.
Menurut kenyataan kumpulan telekomunikasi itu, langkah berkenaan susulan permintaan keperluan infrastruktur digital berkapasiti tinggi selepas menyaksikan taman teknologi tersebut sudah berjaya memperoleh pelaburan terkumpul sebanyak RM189.4 bilion.
Ujarnya, perkongsian berkenaan membabitkan penyediaan infrastruktur ketersambungan gentian optik di Zon Perindustrian Fasa 4A (IZP 4A), sekali gus menyokong operasi pengeluar berteknologi tinggi serta mempercepat usaha pendigitalan industri di Kedah.
"CelcomDigi akan menguruskan infrastruktur saluran gentian optik di zon tersebut, selain menawarkan pelbagai rumusan ketersambungan perusahaan kepada penyewa baharu mengikut keperluan operasi masing-masing," jelas kumpulan berkenaan.
Antara perkhidmatan yang bakal ditawarkan termasuk akses Internet secara khusus (DIA), talian sewaan persendirian (PLL), IPVPN, Managed Dense Wavelength Division Multiplexing (DWDM) dan perkhidmatan gentian terurus.
Kemudahan itu dijangka menyokong keperluan pengeluar yang semakin bergantung kepada ketersambungan digital berkapasiti tinggi, stabil dan selamat bagi menjalankan operasi dalam persekitaran perindustrian yang semakin terhubung.

Dalam pada itu, menurut KTPC, KHTP yang ditubuhkan pada 1996 sudah merekodkan pelaburan terkumpul RM189.4 bilion serta mewujudkan 48,813 peluang pekerjaan setakat suku kedua 2026, susulan perkembangan aktiviti pembuatan berteknologi tinggi di kawasan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Sahil Zabidi berkata, kerjasama itu memastikan IZP 4A dilengkapi infrastruktur gentian optik yang diperlukan pengeluar baharu untuk menyokong operasi serta pertumbuhan jangka panjang taman perindustrian berkenaan.
Beliau berkata, pembangunan KHTP bukan sekadar meningkatkan kapasiti perindustrian, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat, bakat dan perniagaan tempatan di Kedah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, T Kugan berkata, ketersambungan digital merupakan pemangkin penting kepada daya saing perniagaan dan perkembangan industri, selain membantu merealisasikan potensi pelaburan di Koridor Utara.
Perkongsian itu turut menyokong aspirasi pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, khususnya dalam menarik lebih banyak pelaburan serta mengembangkan industri berteraskan teknologi.
CelcomDigi yang mempunyai lebih 20.3 juta pelanggan di seluruh negara berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmennya menyediakan infrastruktur digital bagi menyokong pertumbuhan perniagaan, peningkatan pelaburan dan pembangunan ekonomi Malaysia. - DagangNews.com




