Cemburu dipercayai punca duda tikam leher wanita dalam kereta

Local
18 May 2026 • 5:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cemburu dipercayai punca duda tikam leher wanita dalam kereta
Adzli menunjukkan kesan tikaman yang menembusi bahagian leher mangsa dari kiri ke kanan pada sidang akhbar di IPK Kedah pada Isnin.
Image from: Cemburu dipercayai punca duda tikam leher wanita dalam kereta
Kesan kecederaan yang dialami oleh mangsa.
Image from: Cemburu dipercayai punca duda tikam leher wanita dalam kereta
Adzli menunjukkan kesan tikaman yang menembusi bahagian leher mangsa dari kiri ke kanan pada sidang akhbar di IPK Kedah pada Isnin.

ALOR SETAR – Polis percaya unsur cemburu menjadi motif awal seorang wanita ditikam di bahagian leher ketika berada dalam sebuah kereta di hadapan restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas di sini pada malam Ahad.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan awal juga mendapati suspek dan mangsa saling mengenali sejak lebih setahun lalu.

“Setakat ini kita percaya terdapat unsur cemburu ataupun perasaan tidak berbalas, namun siasatan masih dijalankan.

“Kedua-dua mereka bukan bekerja di syarikat sama tetapi berada dalam bidang yang sealiran sebagai ejen hartanah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Isnin.

**media[3524881]**

Beliau berkata, mangsa yang merupakan Ibu tunggal dan mempunyai dua anak itu kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Katanya, suspek yang merupakan seorang duda dipercayai menaiki kereta bersama mangsa sebelum kejadian berlaku.

“Dalam beberapa minit selepas kereta tiba di lokasi, mangsa bertindak membunyikan hon kenderaan bagi menarik perhatian orang awam sebelum suspek melarikan diri.

“Tindakan pantas mangsa berjaya menarik perhatian pekerja gerai berhampiran yang kemudian membantu memberi bantuan awal,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ejen hartanah tikam wanita direman tujuh hari

Suspek tikam wanita dalam kereta sudah ditahan

Adzli berkata, polis kemudiannya berjaya menahan suspek lelaki berusia 32 tahun itu kira-kira empat jam selepas berjalan sejauh 6.2 kilometer di kawasan berhampiran sebuah masjid di Taman Uda pada jam 1.50 pagi Isnin.

Menurutnya, operasi mengesan suspek turut dibantu dengan menggunakan Unit K9 polis.

**media[3524880]**

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes mencederakan teman wanita mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya lagi.

Beliau berkata, polis masih mengesan senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan percaya ia merupakan objek tajam serta panjang.

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis buru ejen hartanah disyaki tikam wanita, kesan senjata digunakan

Wanita ditikam di leher oleh lelaki dikenali

Ujarnya, suspek direman selama tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam dan petugas klinik berhampiran yang membantu memberikan rawatan awal kepada mangsa.

“Rawatan awal berjaya menghentikan pendarahan di bahagian leher mangsa. Jika lambat diberi bantuan, kecederaan mungkin lebih serius,” katanya.

 

View Original Article