Cemburu punca wanita maut ditikam 13 kali oleh suami

15 Sep 2026 • 8:19 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cemburu punca wanita maut ditikam 13 kali oleh suami

KULIM: Seorang wanita maut selepas dipercayai ditikam sebanyak 13 kali oleh suaminya dengan menggunakan pisau lipat dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, suspek dipercayai menikam isterinya berusia 39 tahun selepas berlaku pertengkaran berkaitan isu cemburu dan masalah rumah tangga.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian selepas suspek berumur 43 tahun hadir ke Balai Polis Lunas dan memaklumkan bahawa dia telah menikam isterinya di rumah mereka.

Menurutnya, suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat berukuran 20 sentimeter (cm) yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Suspek mengaku telah menikam mangsa sebanyak 13 kali iaitu tujuh tikaman di dada, lima tikaman di perut dan satu tikaman mengena bahagian rusuk kanan.

“Temubual terhadap jiran mereka mendapati tiada sesiapa yang mendengar pertengkaran pasangan itu dipercayai akibat hujan lebat ketika kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Syamsul berkata, mangsa yang dibawa ahli keluarga ke Hospital Kulim disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 malam.

Ujarnya, siasatan mendapati kejadian berlaku di dalam bilik tidur utama yang didiami pasangan berkenaan bersama anak mereka yang berusia tiga tahun.

Katanya, suspek juga sempat mengambil anaknya daripada pengasuh dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada kakaknya di Pulau Pinang sebelum menyerah diri di Balai Polis Lunas.

“Pemeriksaan di lokasi turut menemukan kesan dipercayai darah di beberapa tempat dan pasukan forensik mengambil 11 sampel berkaitan untuk siasatan.

“Suspek yang merupakan penganggur tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencingnya negatif. Dia kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat. – UTUSAN

The post Cemburu punca wanita maut ditikam 13 kali oleh suami appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved