Cengild tawar 16.66 juta saham kepada doktor pakar sebagai insentif kekal bersama kumpulan

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 9:12 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cengild tawar 16.66 juta saham kepada doktor pakar sebagai insentif kekal bersama kumpulan Image from: Cengild tawar 16.66 juta saham kepada doktor pakar sebagai insentif kekal bersama kumpulan liza08/09/2026 - 09:12 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept – Cengild Medical Bhd merancang untuk menawarkan sehingga 16.66 juta saham baharu kepada doktor pakar yang berkhidmat secara kontrak dengan kumpulan itu dalam usahanya menarik dan mengekalkan tenaga pakar berpengalaman.

 

Cadangan itu melibatkan penerbitan saham baharu bersamaan 2% daripada jumlah saham diterbitkan Cengild ketika ini yang akan memberi peluang kepada doktor pakar kontrak untuk memiliki kepentingan dalam syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cengild berkata langkah itu penting memandangkan doktor pakar yang memberikan perkhidmatan secara kontrak tidak dikategorikan sebagai kakitangan syarikat dan tidak layak menyertai skim opsyen saham sedia ada untuk eksekutif.

 

“Melalui tawaran saham tersebut, doktor pakar mempunyai saluran untuk turut mengambil bahagian dalam pemilikan syarikat dan ini juga adalah antara usaha Cengild memastikan kumpulan terus mempunyai akses kepada tenaga pakar berpengalaman,” katanya.

 

Pada harga terbitan ilustrasi 17.2 sen sesaham, penerbitan maksimum 16.66 juta saham itu berpotensi menjana hasil kasar kira-kira RM2.87 juta untuk Cengild.

 

Dana Baharu Sokong Peluasan Operasi Pusat Perubatan

Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar dana akan disalurkan bagi pembelian peralatan perubatan untuk menyokong operasi dan permulaan operasi pusat perubatan baharu Cengild di Bangsar South.

 

Peralatan yang dirancang untuk dibeli merangkumi kelengkapan radiologi dan endoskopi, selain peralatan untuk bilik pembedahan serta kemudahan perkhidmatan pensterilan pusat (central sterile services).

 

Ini menunjukkan penerbitan saham berkenaan bukan sekadar memberi ruang kepada doktor pakar untuk memiliki ekuiti Cengild, tetapi pada masa sama membantu menyediakan dana bagi keperluan operasi dan pengembangan kumpulan.

 

Cengild akan menerbitkan saham baharu itu secara berperingkat dalam tempoh enam bulan selepas mendapat kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd untuk penyenaraian saham berkenaan.

 

Sekiranya kesemua 16.66 juta saham diterbitkan, jumlah saham Cengild akan meningkat kepada kira-kira 849.57 juta saham daripada 832.91 juta saham ketika ini.

 

Perkukuh Perkhidmatan Pakar Dan Projek Hospital Baharu

Cadangan itu masih tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia Securities dan  penyelesaiannya dijangka pada suku pertama 2027. 

 

UOB Kay Hian pula dilantik sebagai penasihat dan ejen penempatan.

 

Ketika ini, Cengild mengendalikan pusat perubatan di Nexus @ Bangsar South yang mula beroperasi pada Oktober 2017 dengan tumpuan awal kepada penyakit gastrousus, hati dan obesiti.

 

Perkhidmatan pakarnya diperluas merangkumi bidang kardiologi, urologi dan onkologi, menjadikan peranan doktor pakar semakin penting dalam perkembangan operasi kumpulan.

 

Selain pengembangan di Bangsar South, Cengild turut mengorak langkah ke Pulau Pinang menerusi usaha sama dengan KCB Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Eastern & Oriental Bhd dan Skyspring Sdn Bhd bagi membangunkan serta mengendalikan sebuah hospital swasta tertiari pelbagai disiplin di Pulau Andaman. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved