Cyberjaya Education rancang hapuskan kerugian terkumpul menerusi pengurangan modal RM235 juta

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cyberjaya Education rancang hapuskan kerugian terkumpul menerusi pengurangan modal RM235 juta Image from: Cyberjaya Education rancang hapuskan kerugian terkumpul menerusi pengurangan modal RM235 juta amree08/09/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 SeptCyberjaya Education Group Berhad mencadangkan pengurangan modal saham sebanyak RM235 juta bagi menghapuskan hampir keseluruhan kerugian terkumpul, sekali gus membuka ruang memperkemas kedudukan kewangan selepas mencatat pemulihan keuntungan.

 

Cadangan di bawah Seksyen 116 Akta Syarikat 2016 itu membabitkan pembatalan modal saham berbayar yang hilang atau tidak lagi diwakili oleh aset tersedia, dengan sebanyak RM229.91 juta akan digunakan untuk menghapuskan kerugian terkumpul setakat 30 Jun 2026.

 

Baki kredit selepas penyelarasan akan dimasukkan ke dalam akaun rizab modal bagi menyediakan penampan menyerap sebarang potensi kerugian pada masa depan, namun ia tidak melibatkan pembayaran balik tunai kepada pemegang saham atau perubahan terhadap bilangan saham terbitan sedia ada.

 

"Langkah pembersihan kerugian lama itu penting bagi memperkukuh struktur kewangan selepas berdepan tempoh operasi mencabar antara 2012 hingga 2020, disebabkan kemerosotan pendaftaran pelajar, perubahan campuran program dan isu kawal selia," maklum Cyberjaya Education kepada Bursa Malaysia.

 

Antara pelarasan terdahulu termasuk caj rosot nilai muhibah sebanyak RM15 juta pada 2019, manakala prestasi kumpulan turut terjejas berikutan isu wabak Covid-19 pada 2020, tetapi kumpulan tersebut mula kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM3.5 juta pada 2021.

 

Prestasi itu terus menunjukkan pemulihan apabila keuntungan bersih meningkat kepada RM15 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, disokong pertambahan kemasukan lebih ramai pelajar baharu serta usaha kumpulan meningkatkan kecekapan kos operasi semasa.

 

Cyberjaya Education_DagangNews2026

 

Bagi tempoh 12 bulan tidak diaudit yang berakhir pada 30 Jun 2026, Cyberjaya Education mencatat lonjakan keuntungan bersih mencecah sebanyak RM30.3 juta, sekali gus mencerminkan momentum pemulihan semakin kukuh berbanding tempoh sukar dialami kumpulan itu sebelumnya.

 

"Menerusi pekeliling bertarikh 8 September 2026, kumpulan akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 30 September 2026 untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi cadangan pengurangan modal itu, dengan UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd sebagai penasihat utama," katanya.

 

Pada masa sama, kumpulan berkenaan turut mencadangkan pemberian kuasa untuk membeli balik sehingga 10% daripada jumlah saham terbitan, yang akan dibiayai menerusi sumber dana dalaman atau pinjaman daripada bank, tertakluk kepada kedudukan kewangan dan keperluan kumpulan.

 

Cyberjaya Education berkata, sekiranya saham yang dibeli semula itu dibatalkan, langkah tersebut berpotensi meningkatkan pendapatan sesaham (EPS), selain membantu mengurus penawaran dan permintaan saham serta menyokong harga pasaran dalam jangka panjang.

 

Pelaksanaan pengurangan modal dan pembelian balik saham itu masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham serta pengesahan bertulis Mahkamah Tinggi Malaya, dengan keseluruhan penstrukturan modal dijangka dapat diselesaikan menjelang suku keempat 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved