K-One pulangkan RM27 juta kepada pemegang saham selepas kurangkan modal RM46 juta

Business & Finance
8 Sep 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

K-One pulangkan RM27 juta kepada pemegang saham selepas kurangkan modal RM46 juta Image from: K-One pulangkan RM27 juta kepada pemegang saham selepas kurangkan modal RM46 juta amree08/09/2026 - 18:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept — Pemegang saham K-One Technology Berhad bakal mengundi cadangan pengurangan modal saham sebanyak RM46 juta, dengan RM27.4 juta daripada jumlah tersebut akan digunakan untuk membuat bayaran balik tunai kepada pemegang saham.

 

Cadangan berkenaan merupakan Usul Khas 2 yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan tersebut pada 30 September 2026, dan tertakluk kepada kelulusan resolusi pelupusan kepentingan dalam G-Asiapacific Sdn Bhd (GAP) terlebih dahulu.

 

Menurut notis mesyuarat yang dihantar kepada Bursa Malaysia, pengurangan modal itu akan menyaksikan modal saham diterbitkan bakal dikurangkan daripada RM123.64 juta kepada RM77.64 juta, tanpa mengubah jumlah saham syarikat sebanyak 832.01 juta saham.

 

"Daripada pengurangan sebanyak RM46 juta tersebut, kira-kira RM27.4 juta merupakan jumlah kredit yang akan digunakan bagi tujuan pembayaran balik modal secara tunai kepada pemegang saham yang layak," jelas K-One menerusi kenyataan berkenaan.

 

Tarikh kelayakan pemegang saham untuk menerima bayaran balik tersebut masih belum ditentukan dan akan diumumkan kemudian oleh Lembaga Pengarah kumpulan tersebut.

 

Namun, pelaksanaan cadangan pengurangan modal dan bayaran balik itu bukan automatik kerana ia tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk kelulusan Usul Biasa berhubung pelupusan GAP, serta semua kelulusan dan persetujuan pihak berkuasa atau pihak berkaitan.

 

K-One_DagangNews2026

 

K-One turut mencadangkan menerusi anak syarikat milik penuhnya, K2 Meta Sdn Bhd, untuk menjual keseluruhan satu juta saham GAP kepada Itochu Singapore Pte Ltd dan Itochu Corporation dengan nilai pertimbangan sebanyak RM94 juta secara tunai.

 

Di bawah cadangan pelupusan itu, sebanyak 600,000 saham GAP akan dijual kepada Itochu Singapore, manakala baki 400,000 saham kepada Itochu Corporation, berdasarkan perjanjian jual beli bersyarat yang dimeterai pada 4 Ogos 2026.

 

Hasil pelupusan RM94 juta itu akan digunakan bagi tujuan yang dinyatakan dalam pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 9 September 2026, dengan Lembaga Pengarah diberi kuasa untuk mengubah cara dan tujuan penggunaan hasil tersebut sekiranya difikirkan sesuai demi kepentingan K-One.

 

Bagi melaksanakan pengurangan modal, K-One akan memfailkan permohonan mendapatkan pengesahan Mahkamah Tinggi Malaya di bawah Seksyen 116 Akta Syarikat 2016 sebelum dokumen berkaitan dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat.

 

EGM K-One akan diadakan pada akhir bulan ini, di Ballroom V, Main Wing, Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor, manakala tarikh rekod depositori bagi tujuan mesyuarat ditetapkan pada 23 September 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved