Censof peroleh kontrak RM10.8j dari SKM

Business & Finance
14 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Censof peroleh kontrak RM10.8j dari SKM

PETALING JAYA: Censof Holdings Berhad (Censof) melalui anak syarikat milik penuhnya, Century Software (Malaysia) Sdn. Bhd. (Century Software) menerima kontrak bernilai kira-kira RM10.8 juta daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membekal dan melaksanakan sistem pengurusan kewangan baharu.

Menurut kenyataannya, kontrak itu melibatkan penyediaan Sistem Kewangan Baharu SKM (SKM-FS) menerusi pengaturan berasaskan langganan. 

Katanya, skop kerja merangkumi keseluruhan proses pelaksanaan sistem, termasuk analisis keperluan, reka bentuk sistem, penyediaan, konfigurasi, penyesuaian, pengujian, integrasi, migrasi data, latihan, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem.

“Kontrak selama 24 bulan itu dijadualkan bermula pada 2 November 2026 dan berakhir pada 1 November 2028,serta akan dilaksanakan dalam dua fasa.

“Fasa pertama merangkumi tempoh pembangunan dan pelaksanaan selama 12 bulan sehingga 1 November 2027, diikuti tempoh langganan selama 12 bulan bermula pada 2 November 2027,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Censof, Ameer Shaik Mydin berkata, pihaknya berbesar hati apabila diberikan kepercayaan oleh SKM untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Pemberian kontrak ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap keupayaan dan pengalaman Censof dalam menyediakan penyelesaian pengurusan kewangan untuk sektor awam Malaysia.

“Melalui projek ini, kami berhasrat membantu SKM memodenkan proses pengurusan kewangannya menerusi sistem yang memenuhi keperluan operasinya,” katanya.

Beliau berkata, kontrak terbaharu itu mengukuhkan lagi portfolio projek pengurusan kewangan sektor awam Censof, berdasarkan pengalaman kumpulan dalam menyediakan penyelesaian pengurusan kewangan bersepadu yang disesuaikan dengan keperluan operasi agensi kerajaan dan institusi awam.

Tambahnya,dengan kira-kira RM3.7 juta diperuntukkan bagi komponen langganan selama 12 bulan, sebelum cukai perkhidmatan, kontrak itu akan memperluas asas hasil berulang Kumpulan sepanjang fasa langganan serta meningkatkan keterlihatan hasil.

Selain nilai kontrak, beliau berkata, Censof turut melihat peluang daripada pelaksanaan projek berasaskan langganan itu.

“Ketika semakin banyak organisasi mencari penyelesaian pengurusan kewangan yang boleh dipercayai berserta sokongan berterusan, kumpulan melihat peluang untuk terus memperluas asas hasil berulang menerusi projek berasaskan langganan yang serupa,” ujarnya.

Katanya, pendekatan itu akan menjadi sebahagian penting daripada usaha Censof untuk meningkatkan keterlihatan hasil dan menyokong pertumbuhan mampan, di samping meneruskan tumpuan untuk memperluas kehadirannya dalam sektor awam dan swasta.

“Memandang ke hadapan, Censof kekal fokus untuk memperluas kehadirannya dalam kedua-dua sektor itu dengan memanfaatkan pangkalan pelanggan sedia ada, keupayaan teknologi yang luas serta kerjasama strategik bagi merebut peluang pertumbuhan baharu.

“Merentasi segmen perniagaan terasnya, kumpulan terus memperkukuh penawaran menerusi pengkomputeran awan, kecerdasan buatan dan automasi bagi membolehkannya memanfaatkan perkembangan pesat transformasi digital Malaysia, di samping memperluas aliran hasil berulang dan memacu pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

The post Censof peroleh kontrak RM10.8j dari SKM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved