Censof bangunkan sistem kewangan baharu untuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 2:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Censof bangunkan sistem kewangan baharu untuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia Image from: Censof bangunkan sistem kewangan baharu untuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia liza13/10/2026 - 14:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt – Censof Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Century Software (Malaysia) Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM10.8 juta daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membekalkan dan melaksanakan sistem pengurusan kewangan baharu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Censof berkata kontrak itu melibatkan pembangunan dan pelaksanaan Sistem Kewangan SKM (SKM-FS) menerusi model langganan, merangkumi keseluruhan proses penyediaan sistem sehingga boleh digunakan termasuk analisis keperluan, reka bentuk, konfigurasi, penyesuaian, pengujian, integrasi dan pemindahan data.

 

“Skop kerja turut meliputi latihan pengguna, pengoperasian sistem serta penyelenggaraan bagi memastikan sistem berkenaan memenuhi keperluan operasi SKM.

 

“Kontrak selama 24 bulan itu dijadualkan bermula pada 2 November 2026 dan berakhir pada 1 November 2028,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Fasa pertama melibatkan tempoh pembangunan dan pelaksanaan selama 12 bulan sehingga 1 November 2027, manakala fasa kedua merangkumi langganan sistem selama 12 bulan bermula 2 November 2027.

 

Daripada keseluruhan nilai kontrak, kira-kira RM3.7 juta diperuntukkan bagi komponen langganan selama 12 bulan, tidak termasuk cukai perkhidmatan.

 

Model langganan tambah hasil berulang

Censof berkata kontrak terbaharu itu menambah portfolio projek pengurusan kewangan sektor awam kumpulan berkenaan, berdasarkan pengalamannya menyediakan perkhidmatan kewangan bersepadu untuk agensi kerajaan dan institusi awam.

 

Peruntukan bagi komponen langganan juga dijangka menyumbang kepada pengembangan aliran hasil berulang kumpulan sepanjang tempoh langganan, sekali gus memberikan keterlihatan hasil yang lebih baik.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Censof, Ameer Shaik Mydin berkata pelantikan itu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap keupayaan dan pengalaman kumpulan dalam menyediakan penyelesaian pengurusan kewangan untuk sektor awam Malaysia.

 

Beliau berkata projek itu bertujuan membantu SKM memodenkan proses pengurusan kewangannya menerusi sistem yang memenuhi keperluan operasi suruhanjaya berkenaan.

 

“Model langganan turut membuka peluang kepada kumpulan untuk meningkatkan hasil berulang apabila lebih banyak organisasi memerlukan penyelesaian pengurusan kewangan berserta sokongan berterusan,” katanya.

 

Censof perluas pasaran sektor awam dan swasta

Censof berkata kumpulan itu akan terus memperluas kehadirannya dalam sektor awam dan swasta dengan memanfaatkan pangkalan pelanggan sedia ada, keupayaan teknologi serta kerjasama strategik bagi meneroka peluang pertumbuhan baharu.

 

Kumpulan itu turut memperkukuh penawaran perniagaannya menerusi penggunaan pengkomputeran awan, kecerdasan buatan dan automasi bagi memenuhi keperluan pendigitalan organisasi.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved