Censof wujudkan jawatan baharu, Ketua Pegawai AI dengan Jude Lopez sebagai lantikan pertama

TechnologyBusiness & Finance
2 Oct 2025 • 3:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Censof wujudkan jawatan baharu, Ketua Pegawai AI dengan Jude Lopez sebagai lantikan pertama

image is not available

02/10/2025 - 15:51

Jude Lopez Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt – Censof Holdings Bhd melantik Jude Lopez sebagai Ketua Pegawai Kecerdasan Buatan (AI) bagi memacu strategi AI, kejuruteraan platform dan penyampaian syarikat perisian itu berkuat kuasa hari ini.

Ia adalah jawatan baharu yang diwujudkan Censof seiring perkembangan teknologi canggih dan mendepani cabaran global.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Censof berkata, pelantikan itu adalah sebahagian daripada usaha Censof untuk memperkukuh penawaran anak-anak syarikatnya dengan ciri-ciri AI serta mewujudkan sinergi merentasi kumpulan.

“Lopez mempunyai hampir 30 tahun pengalaman dalam teknologi perusahaan dan sebelum ini adalah Ketua Pegawai Operasi di Cognitive Consulting Sdn Bhd, sebuah firma yang mengkhusus dalam aotomasi robotic dan AI sebelum menyertai Censof.

“Pengalaman kerjayanya juga merangkumi pelbagai jawatan di firma teknologi maklumat global termasuk Oracle, sebagai pengurus negara; dan Sun Microsystems, sebagai pengarah jualan,” kata Censof.

Censof menyasarkan untuk menyediakan ciri-ciri AI dalam penyelesaian pengurusan kewangannya bagi sektor kerajaan, termasuk analitik kewangan pintar, pengesanan penipuan dan pelaksanaan “Intelligent Advisors”.

Inisiatif bagi sektor swasta pula merangkumi automasi berasaskan AI, pematuhan, e-invois, serta aplikasi dalam pengurusan kekayaan dan teknologi digital.

Syarikat itu turut merancang menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI (AI Centre of Excellence) dan jawatankuasa tadbir urus merentasi fungsi bagi menyokong pelaksanaan dan pembangunan bakat di seluruh kumpulan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Censof, Ameer Shaik Mydin berkata, pelantikan Ketua Pegawai AI mempercepatkan rancangan syarikat untuk proses integrasi AI ke dalam setiap barisan produk.

"Pelanggan kami mengharapkan teknologi yang bukan sahaja inovatif tetapi memberikan hasil yang sangat memuaskan," katanya.

Dalam pada itu, Lopez dalam satu kenyataan berkata, strategi AI yang dilaksanakan Censof bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan dan pematuhan, tetapi juga untuk mewujudkan aliran pendapatan baharu serta memperbaiki margin keuntungan di seluruh syarikat.

"Dengan membangunkan penawaran AI yang bersepadu, kami dapat memacu inovasi dengan cepat, mengurangkan kos dan memperkukuh kelebihan kompetitif," katanya. - DagangNews.com

standard