liza28/09/2026 - 18:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept – Ketua Pegawai Eksekutif Aumas Resources Berhad, Chong Tzu Khen mengambil cuti pentadbiran daripada tugas eksekutif dan pengurusan di syarikat itu serta anak syarikat milik penuhnya, Wullersdorf Resources Sdn Bhd (WRSB), selepas didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Aumas Resources berkata Chong didakwa pada 28 September 2026 di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, melibatkan jumlah keseluruhan RM18,000 bagi tempoh antara April 2024 hingga Oktober 2025.
Chong yang juga Ketua Pegawai Eksekutif WRSB mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tiga pertuduhan berkenaan dan memilih untuk dibicarakan.
Beliau turut diberikan jaminan sementara menunggu prosiding mahkamah.
Cuti pentadbiran sehingga diberitahu kelak
Menurut Aumas Resources, Chong mengambil cuti pentadbiran secara sukarela daripada tugas eksekutif dan pengurusan di syarikat itu serta WRSB berkuat kuasa 28 September 2026 sehingga diberitahu kelak.
Syarikat berkata, tindakan tersebut merupakan langkah sementara sementara menunggu keputusan prosiding berkenaan dan tidak mewakili sebarang penentuan oleh lembaga pengarah berhubung pertuduhan yang dikenakan terhadap Chong.
Aumas Resources turut menegaskan bahawa tiada pertuduhan dikenakan terhadap syarikat atau mana-mana anak syarikatnya.
Operasi WRSB diteruskan
Sementara itu, operasi WRSB akan diteruskan di bawah kendalian pasukan pengurusan kanan sedia ada.
Lembaga pengarah tidak menjangkakan perkara tersebut memberi sebarang kesan material terhadap operasi atau prestasi kewangan Kumpulan Aumas Resources.
Syarikat berkata, pihaknya akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan perkara berkenaan. - DagangNews.com






