CEO Axiata, Nik Rizal Kamil dilantik menganggotai Lembaga Pengarah GSMA

LocalTechnology
6 Oct 2026 • 10:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CEO Axiata, Nik Rizal Kamil dilantik menganggotai Lembaga Pengarah GSMA Image from: CEO Axiata, Nik Rizal Kamil dilantik menganggotai Lembaga Pengarah GSMA amree06/10/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt — Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata Group Berhad, Nik Rizal Kamil dilantik menganggotai Lembaga Pengarah GSM Association (GSMA) bagi tempoh dua tahun mulai Januari 2027, mengukuhkan peranan syarikat telekomunikasi itu dalam membentuk masa depan kesalinghubungan digital global.

 

Pelantikan itu memberi Axiata perwakilan di peringkat kepimpinan tertinggi GSMA ketika industri telekomunikasi antarabangsa berdepan perubahan pesat susulan perkembangan 5G, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan teknologi generasi baharu.

 

GSMA merupakan organisasi global yang mewakili pengendali mudah alih serta syarikat dalam ekosistem digital, selain menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan rakan teknologi bagi membincangkan isu kesalinghubungan digital dan transformasi teknologi.

 

Lembaga GSMA terdiri daripada pemimpin kumpulan telekomunikasi terbesar dunia serta pengendali bebas, dengan tanggungjawab memberikan hala tuju strategik terhadap keutamaan industri dan masa depan kesalinghubungan mudah alih.

 

Menurut Axiata, pelantikan Nik Rizal meneruskan legasi kumpulan dalam menyumbang kepada kepimpinan dan agenda GSMA, selain mencerminkan peranannya dalam memperjuangkan pelaburan serta kelestarian kewangan industri telekomunikasi.

 

"Ia turut merangkumi usaha mempercepat inovasi dan memperkukuh kesalinghubungan digital sebagai pemacu penting kepada ekonomi digital serta masyarakat dan perniagaan yang bersedia menerima AI." jelas kumpulan berkenaan dalam kenyataan.

 

GSMA_DagangNews2026

 

Selain keanggotaan dalam Lembaga GSMA, pengurusan kanan Axiata turut terlibat secara aktif dalam jawatankuasa peringkat lembaga, kumpulan kerja dan pasukan petugas GSMA, dengan membawa perspektif ASEAN dan Asia Selatan dalam perbincangan industri.

 

Sementara itu, Nik Rizal berkata, beliau berbesar hati diberi peluang berkhidmat dalam Lembaga GSMA pada masa penting bagi industri, ketika kesalinghubungan mudah alih bukan lagi sekadar perkhidmatan komunikasi tetapi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, keterangkuman digital dan inovasi.

 

Beliau berkata cabaran industri kini bukan sahaja untuk memperluas kesalinghubungan, malah memastikan teknologi berkenaan diterjemahkan kepada pertumbuhan mampan, daya tahan lebih kukuh dan nilai jangka panjang.

 

Menurutnya, pengalaman Axiata di ASEAN dan Asia Selatan menunjukkan teknologi serta kesalinghubungan mampu mempercepat pembangunan, memperkasa perniagaan dan meningkatkan taraf kehidupan, khususnya ketika ekosistem mudah alih bergerak ke arah perkhidmatan berasaskan AI, rangkaian pintar dan platform digital.

 

Axiata merupakan antara kumpulan telekomunikasi dan teknologi utama Asia dengan operasi di Asia Tenggara dan Asia Selatan, dan menerusi strategi Axiata28: Advancing Asia, kumpulan memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi, penjanaan tunai serta penciptaan nilai jangka panjang untuk pemegang saham, pelanggan dan komuniti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved