Legasi YTL Group beralih generasi, 12 cucu pengasas dilantik ke lembaga pengarah tiga syarikat

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 5:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Legasi YTL Group beralih generasi, 12 cucu pengasas dilantik ke lembaga pengarah tiga syarikat Image from: Legasi YTL Group beralih generasi, 12 cucu pengasas dilantik ke lembaga pengarah tiga syarikat liza25/09/2026 - 17:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Sept – Keluarga pengasas YTL Group mula membuka laluan kepada generasi ketiga untuk meneruskan legasi kumpulan itu apabila 12 cucu mendiang Tan Sri Yeoh Tiong Lay dan Puan Sri Tan Kai Yong dilantik menganggotai lembaga pengarah di tiga syarikat miliknya.

 

Pelantikan secara serentak itu membabitkan YTL Corporation Bhd, YTL Power International Bhd dan Malayan Cement Bhd menerusi beberapa makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kesemua 12 individu berusia antara 25 hingga 41 tahun itu merupakan generasi ketiga keluarga Yeoh, dengan pelantikan mereka dilihat memberi pendedahan awal terhadap pentadbiran dan hala tuju syarikat yang diterajui keluarga berkenaan.

 

Menariknya, cucu kepada semua tujuh generasi kedua keluarga ini turut terlibat dalam perubahan barisan lembaga pengarah dengan kebanyakan mereka dilantik sebagai pengarah gantian kepada ibu atau bapa masing-masing.

 

Cucu pengasas mula ambil tempat

Anak sulung pengasas, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, 72, yang merupakan pengerusi eksekutif ketiga-tiga syarikat membawa masuk dua anaknya ke dalam struktur lembaga kumpulan.

 

Anak sulungnya, Yeoh Keong Yeow, 41, dilantik sebagai pengarah gantian eksekutif di YTL Corporation dan YTL Power, manakala seorang lagi anaknya, Yeoh Keong Junn, 37, menyertai lembaga Malayan Cement sebagai pengarah gantian, lapor The Edge.

 

Langkah sama turut dilihat dalam keluarga Datuk Seri Yeoh Seok Hong, 67, yang merupakan pengarah urusan YTL Power serta pengarah eksekutif YTL Corporation dan Malayan Cement.

 

Anaknya, Yeoh Keong Hann, 40, dilantik sebagai pengarah eksekutif YTL Power selain pengarah gantian eksekutif di YTL Corporation, manakala seorang lagi anak, Yeoh Keong Yuan, 37, dilantik sebagai pengarah gantian di Malayan Cement.

 

Generasi ketiga masuk tiga syarikat utama

Bagi Datuk Seri Michael Yeoh Sock Siong, 66, yang merupakan pengarah urusan Malayan Cement serta pengarah eksekutif YTL Corporation dan YTL Power, dua anaknya turut menyertai lembaga syarikat.

 

Yeoh Pei Jen, 29, dilantik sebagai pengarah gantian eksekutif di YTL Corporation dan YTL Power, manakala kembarnya, Yeoh Pei Yen, menyertai Malayan Cement sebagai pengarah gantian.

 

Sementara itu, anak Datuk Yeoh Seok Kian, 69, iaitu Yeoh Keong Wei, 30, dilantik sebagai pengarah gantian di ketiga-tiga syarikat tersenarai YTL.

 

Anak Datuk Setia Mark Yeoh Seok Kah, 61, iaitu Yeoh Pei Xien, 25, pula dilantik sebagai pengarah gantian eksekutif di YTL Corporation dan YTL Power, menjadikannya yang termuda dalam kalangan 12 individu yang diumumkan.

 

Anak Datuk Yeoh Soo Min, Tan Chien Hwei, 36, turut dilantik sebagai pengarah gantian eksekutif di YTL Corporation dan YTL Power, manakala tiga anak Datuk Yeoh Soo Keng menyertai lembaga syarikat masing-masing.

 

Choy Yuin Yi, 34, dilantik sebagai pengarah gantian eksekutif di YTL Corporation, Choy Kin Mann, 32, menyertai YTL Power dalam kapasiti sama, manakala Choy Yuin Quan, 26, dilantik sebagai pengarah gantian di Malayan Cement.

 

Rangkaian pelantikan itu memperlihatkan kesemua tujuh cabang keluarga generasi kedua kini mempunyai wakil daripada generasi ketiga dalam tiga syarikat utama YTL.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved