amree25/09/2026 - 16:44 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan IOI Properties Group Berhad, Datuk Lee Yeow Seng membeli 10.02 juta saham syarikat itu bernilai kira-kira RM35 juta.
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, langkah berkenaan sekali gus meningkatkan pegangan langsung beliau dalam ekuiti pemaju hartanah tersebut kepada 3.497%.
Beliau yang juga Pengarah Eksekutif kumpulan sejak 2013, membeli sebanyak 10,015,100 saham pada harga RM3.49 sesaham menerusi transaksi pasaran terbuka pada 24 September 2026.
"Susulan pembelian itu, pegangan langsung Yeow Seng meningkat kepada sejumlah 192.55 juta saham, bersamaan 3.497% daripada saham mengundi diterbitkan," jelas IOI Properties.
Sebelum ini, beliau turut mempunyai kepentingan secara tidak langsung atau deemed interest dalam 3.62 bilion saham, mewakili kira-kira 65.676% pegangan dalam IOI Properties.

Kepentingan tidak langsung tersebut adalah melalui Vertical Capacity Sdn Bhd serta pegangan saham secara proksi menerusi isterinya, Datin Yeo Bee Yin.
Berdasarkan sejumlah 5.51 bilion saham mengundi IOI Properties setakat 24 September 2026, gabungan kepentingan langsung dan tidak langsung Yeo Seng kini berjumlah kira-kira 69.17%.
Beliau dilantik menganggotai lembaga pengarah kumpulan tersebut pada 25 Februari 2013 sebagai Pengarah Eksekutif sebelum dilantik pula sebagai CEO pada 8 Januari 2014.
Selepas itu, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif pada 15 April 2020 sebelum kembali memegang semula jawatan CEO Kumpulan bermula 1 Julai 2023.
Saham IOI Properties ditutup pada harga RM3.46 dalam dagangan 25 September 2026, turun kira-kira 1% pada hari tersebut dan susut 12.8% berbanding sebulan lalu. - DagangNews.com






